MURSYIDUL AM NASIHAT AHLI PAS BERSANGKA BAIK

KUALA LUMPUR – Setiap ahli Pas bertanggungjawab meletakkan keikhlasan kerana ALLAH SWT  sebagai teras perjuangan.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam kenyataannya berkata, selain keikhlasan, ahli Pas juga perlu mempunyai sangka baik dan sentiasa istiqamah.

“Perkara ini sangat penting untuk dihalusi ketika kita mula melihat keadaan akhlak sesetengah ahli Pas mulai kritikal,” katanya.

Menurutnya, konflik akhlak dalam berjemaah akan membuka ruang kepada syaitan untuk menjarakkan ahli-ahli daripada jemaah.

“Ada ahli yang mengkritik keputusan jemaah kerana pandangan politiknya mengatasi pertimba-ngan dakwah.

“Ada yang menolak pendirian jemaah kerana kezaliman itu difahami sebagai menindas rakyat, sedang perbuatan menolak syariat tidak pula dikatakan zalim,” katanya.

Beliau berkata, Pas sebagai sebuah jemaah Islam yang tertua dan terbesar dalam negara telah memiliki lebih sejuta ahli pelbagai latar belakang.

“Apakah yang boleh mengikat dan menyatukan kepelbagaian ini? Ia adalah akhlak berjemaah,” katanya.

Hashim berkata, setiap ahli Pas terikat dengan adab dan disiplin.

“Ia membolehkan seluruh fikiran dan tindakan ahli dapat diselaraskan, sehingga tercapai tujuan perjuangan,” katanya.

SINAR HARIAN

.