MUNGKINKAH PRU14 DITUNDA KERANA HARGA MINYAK NAIK, SOAL PAS

KENAIKAN harga petrol dan diesel secara konsisten mungkin menyebabkan kerajaan menunda Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, ini kerana peningkatan secara konsisten itu menyebabkan segala “feel-good” yang akan dijana melalui Bajet 2018 akan hilang.

“Bayangkan pada minggu mengundi PRU14 dan harga RON95 terpaksa mencecah RM2.70 kerana kenaikan harga pasaran, apakah kesannya kepada undi Barisan Nasional (BN) pada saat-saat akhir?” soal Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

“Sekiranya harga minyak naik mencecah RM2.50, para peniaga akan mengambil keputusan untuk menaikkan harga barangan kerana naiknya kos pengangkutan.

“Ini bakal sekali lagi melonjakkan inflasi dan juga kos sara hidup rakyat, yang sudah tentunya akan menjadi isu penting pada PRU14.”

PRU14 mesti diadakan sebelum Ogos tahun depan, dengan tempoh masa 60 hari selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Minggu ini harga minyak mencatatkan rekod antara harga termahal sejak sistem apungan terurus diperkenalkan Mac lalu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan RON95 naik 7 sen kepada RM2.38 seliter, RON97 pula naik 6 sen kepada RM2.66 seliter.

Sementara itu, harga diesel pula naik 5 sen kepada RM2.20 seliter, juga antara harga tertinggi di bawah sistem apungan mingguan itu.

Tuan Ibrahim berkata, kenaikan RON95 minggu ini sebanyak 7 sen yang membawa nilainya kepada RM2.38 seliter membuatkan rakyat mengeluhkan.

“Harga itu semakin menghampiri harga RM2.70 seliter di zaman Abdullah Badawi yang membuka laluan kepada kehilangan dua pertiga majoriti bagi BN di Parlimen,” katanya.

“Apakah BN mungkin terpaksa menunda PRU14 jika harga minyak naik mendadak pada awal tahun ini kerana kemarahan rakyat akan susah dibendung?”

Menurut Tuan Ibrahim, BN boleh menghalang kenaikan harga minyak pada minggu mengundi PRU14, bahkan mengumumkan subsidi untuk mengekalkan harga minyak di tahap yang boleh diterima rakyat.

“Tetapi ia tidak bermakna akan dapat meredakan keresahan rakyat untuk mengundi mereka semula pada PRU14.

“Kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak akan membantu kerana panadol ini hanya dapat bertahan sekejap,” katanya.

Tuan Ibrahim menyoal, apakah harga minyak akan menjadi penentu undi rakyat pada PRU14 mengatasi Bajet 2018.

“Jika dinilai melalui kemarahan rakyat di media sosial pada waktu ini, nampaknya ya.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.