MUNGKIN ADA AGENDA TERSEMBUNYI DI SEBALIK DAKWAAN RM9.5JUTA?

Bekas ketua polis negara berkata, beliau mengesyaki ada agenda tersembunyi di sebalik dakwaan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan bayaran sebanyak RM9.5 juta kepada peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah.

Menurut Tan Sri Musa Hassan, agenda itu mungkin boleh menyebabkan negara kucar-kacir atau musnah.

“Saya sangsi. Mungkin ada kepentingan tertentu dan agenda tersembunyi di sebalik dakwaan ini yang boleh membawa kehancuran atau huru-hara kepada negara,” katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Musa menjawab soalan media mengenai kemungkinan ada kaitan antara dakwaan portal Sarawak Report berhubung bayaran didakwa dibuat perdana menteri kepada Shafee, dan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengemukakan permohonan mengetepikan sabitan kes liwat keduanya.

Shafee – seorang peguam persendirian – dilantik kerajaan mengetuai pasukan pendakwa ketika perbicaraan kes Anwar di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Bekas timbalan perdana menteri dan pemimpin PKR itu sebelumnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2012.

Persoal kesahihan

Bagaimanapun keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac 2014.

Malaysiakini tidak boleh mengesahkan dakwaan laporan Sarawak Report itu secara bebas atau menentukan sama ada bayaran yang dikatakan itu berkaitan dengan peranan Shafee dalam kes Anwar.

Shafee pula dipetik portal FMT sebagai berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan berkenaan pada suatu hari nanti.

Musa turut berkata, sesiapa pun yang membuat dakwaan berkenan wang itu sepatutnya melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta polis.

Untuk rekod, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan 40 laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan, Musa mempersoalkan kesahihan dakwaan itu atas alasan akaun bank perdana menteri sudah ditutup ketika transaksi itu didakwa dilakukan.

– M’kini

.