MUKHRIZ TAK LAYAK JADI PEMIMPIN, KATA JOHARI BAHARUM

AHLI Parlimen Kubang Pasu Mohd Johari Baharum menyifatkan tindakan  Mukhriz Mahathir yang malu mengaku dirinya rakyat Malaysia apabila berada di luar negara menunjukkan beliau tidak mempunyai semangat patriotisme dan tidak layak diangkat sebagai pemimpin.

Beliau berkata tindakan timbalan presiden Bersatu dan bekas menteri besar Kedah itu juga menunjukkan beliau sebenarnya tidak  menghargai nikmat keamanan negara yang susah payah diperjuangkan pemimpin dan generasi terdahul

“Beliau sebaliknya hanya mementingkan agenda untuk meluaskan kuasa politik. Mukhriz tak faham  tentang susah senang kerana dia hidup dalam kemewahan (sebab bapanya dulunya wakil rakyat Kubang Pasu dan perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad.

“Dia (Mukhriz) tidak tahu perjuangan sebab itu anak dia semua mengaji (belajar) di luar negara bukan di Malaysia, jadi macam mana nak ada semangat kenegerian (dan kenegaraan),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gelombang Askar Wataniah (GAW) Zon Utara di Jitra, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik kenyataan Mukhriz yang mendakwa malu mengaku dirinya berasal dari Malaysia sewaktu berada di luar negara kerana kononnya negara ini sebagai bermasalah dan mempunyai imej yang teruk.

Mohd Johari yang juga timbalan menteri pertahanan berkata tiada sebabnya untuk seseorang itu malu mengaku sebagai rakyat Malaysia, sebaliknya patut berasa bangga kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang disegani di mata dunia.

“Saya baru balik daripada menghadiri satu mesyuarat di Bali, Indonesia yang turut dihadiri beberapa pemimpin negara Asean lain, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat malah mereka kagum dengan kebolehan kita tangani masalah terorisme di negara kita.

“Sebab itu terorisme tidak boleh bertapak di negara kita dan anggota (keselamatan) kita cekap tangani masalah ini, di rantau ini kita dapat tangani  masalah ini dengan baik, jadi nak kata malu itu memang tak adalah,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai terutamanya golongan muda agar tidak melunturkan semangat patriotisme yang ada dalam diri masing-masing.

“Malaysia ini bukan dibangun oleh seorang perdana menteri sahaja, kita jangan lupa peranan Tunku Abdul Rahman Putra (perdana menteri pertama) yang menyatupadukan rakyat berbilang kaum, peranan Abdul Razak Hussein (perdana menteri kedua) yang membasmi kemiskinan melalui Dasar Ekonomi Baru.

“Dr Mahathir ini hanya naik (jadi perdana menteri) ketika negara sudah  berada dalam keadaan stabil… iaitu ketika asas-asas sebuah negara sudah dibangunkan oleh perdana menteri terdahulu,” katanya yang pernah menjadi setiausaha politik  kepada Dr Mahathir.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.