MUKHRIZ SELAR ETIKA AKHBAR

ETIKA kewartawanan jatuh ke tahap paling rendah apabila pandangan peribadi seseorang dijadikan berita, kata timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir.

Beliau mengulas mengenai artikel dua akhbar pro-Umno mengenai gaya hidup anak perempuannya, Meera Alyana Mukhriz.

“Saya lihat banyak maklum balas daripada banyak pihak yang mempersoalkan nilai berita sebegitu, yang mana perkara peribadi digunakan untuk menjadikan perspektif negatif dengan implikasi politik tentang ahli keluarga saya, katanya pada sidang media bajet Kedah 2018 hari ini.

Mukhriz berkata laporan terbabit tidak sepatutnya disiarkan kerana ia tiada kaitan antara gambar berkenaan dengan dana haram atau 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang juga Adun Ayer Hitam turut menyindir 1MDB dengan menyatakan dana itu tidak digunakan untuk membuat filem berunsur lucah atau untuk perjudian di Las Vegas.

“Ada yang menyatakan sumber dana itu merupakan wang yang dicuri daripada rakyat, oleh itu, saya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kerana ia adalah tuduhan yang serius.

“Salah satu laporan berkenaan menyebut satu blog tanpa nama yang menyatakan kekayaan itu dicuri daripada orang ramai.

“Setakat yang saya tahu, wang yang dicuri daripada orang ramai ini adalah (masalah) dengan individu dalam kepimpinan, (dan beliau) tiada kaitan dengan kita,” kata Mukhriz.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata, serangan peribadi ke atas keluarganya berterusan, dan menambah pejabatnya, malah pejabat adik beradiknya diserbu
Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Selepas dua bulan saya menerima surat yang menyatakan salah sebuah syarikat saya gagal membayar cukai berjumlah RM21,000. Setahu saya, semua cukai sudah dijelaskan,” katanya.

Semalam, akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian menyiarkan laporan berhubung “gaya hidup selebriti” Meera, yang disertakan dengan gambarnya mengenakan pakaian pereka terkenal dan melancong ke seluruh dunia dengan kapal layar mewah.

Artikel yang disiarkan akhbar berkenaan adalah berdasarkan posting Facebook “Sudahlah Mahathir”.

Akhar harian pro-Umno itu berkata, Meera yang juga dikenali sebagai Ally, melancong mengelilingi dunia menggunakan kapal mewah yang dinamakan sempena namanya. Utusan turut mendakwa kapal berkenaan merupakan pemberian bapanya.

Dalam kenyataan balas, Marina Mahathir berkata, ia merupakan tindakan terdesak pakatan pemerintah untuk mengalih perhatian daripada skandal 1MDB.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com/

.