MUKHRIZ: SAYANG KEPADA UMNO HALANG SAYA BUBAR DUN KEDAH

Sayangnya kepada Umno dan BN menghalang Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada membubarkan DUN Kedah dan sebaliknya melepaskan jawatan sebagai menteri besar tahun lalu.

Mukhriz percaya jika beliau membubarkan DUN, BN akan kehilangan negeri itu jika pilihan raya negeri diadakan.

“Orang lupa bila saya letak jawatan sebagai MB, saya ada satu lagi pilihan, iaitu membubarkan DUN. Saya boleh buat. Saya sedar kalau saya buat… bila diberitahu saya hilang ‘sokongan’ ADUN hanya dengan satu undi.

“Ia tidak secara terus mencadangkan saya meletakkan jawatan. Ia tersirat yang saya kena faham saya dah hilang sokongan dan perlu letak jawatan.

“Jadi saya lakukan perkara yang terhormat. Tiada siapa bercakap tentang perkara yang saya boleh lakukan, iaitu membubarkan DUN.

“Namun itu bermakna berlaku pilihan raya negeri dan memikirkan pada masa itu BN mungkin kalah, ” katanya dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight.

Walaupun dilayan sedemikian rupa, Mukhriz, yang kini adalah timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata beliau tidak sanggup bertindak menentang kepentingan Umno dan BN.

“Amat jelas Najib dan kroninya memaksa saya letak jawatan. Tetapi pada masa itu sayang saya kepada Umno dan BN sangat kuat, saya tidak sampai hati untuk lihat mereka kalah dengan teruk.

“Saya juga terfikir saya mungkin menjadi orang jahat yang menikam Umno dari belakang. Jadi saya memutuskan untuk biarkan dan lihat apa yang berlaku,” katanya.

Walau bagaimanapun, sentimen hari ini telah berubah.

Ketika ini, Mukhriz dan bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai pembangkang dengan tujuan untuk menumbangkan Umno dan BN.

Semasa peringkat awal, Mukhriz mengakui bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk melihat Umno dan BN digulingkan daripada cengkaman kuasa.

Tumpuan, katanya, adalah untuk memecat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tidak mempunyai keinginan pada masa itu untuk melihat Umno dan BN digulingkan. Pembangkang berkata saya cuba mengukuhkan Umno dan BN dengan memecat Najib. Saya mesti mengatakan pada masa awal, itulah niat saya.

“Tetapi Umno enggan menyingkirkan pemimpin rasuah ini. Ia kemudian menjadi jelas kepada saya Umno bukan parti yang boleh diselamatkan.

“Ia bukan hanya kepimpinan tetapi budaya wang dan sokongan dan kekuasaan yang (begitu) kuat. Tetapi ia pergi ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini mereka boleh membutakan mata dengan masalah sebenar dan masih menyokong pemimpin yang jelas seorang kleptokrat.

“Pada masa itu, idea membentuk parti baharu satu keperluan,” katanya.

– M’kini

.