MUKHRIZ PESAN RAKYAT JOHOR HATI-HATI UMNO ‘BERMUKA DUA’

PEMIMPIN Umno didakwa bermuka dua dengan sengaja memutarbelitkan mesej dalam ucapan mereka kerana parti itu semakin terdesak untuk meraih sokongan masyarakat menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata ucapan oleh dua pemimpin tertinggi Umno baru-baru ini sangat bercanggah dan dengan jelas berniat untuk mengelirukan hadirin mereka.

Katanya, Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 yang tamat Sabtu lalu, membangkitkan persoalan sama ada orang Melayu akan mengundi PH atau tidak, walaupun tahu yang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.

“Selepas itu dia berkata ‘maharaja’ Lim Kit Siang (dan) DAP akan berkuasa. Itu kata dia.

“Ini tak masuk akal. Kit Siang sendiri pun kata dia tak berminat jadi perdana menteri, malah DAP kata tak mungkin ia boleh buat,” kata Mukhriz dalam ucapannya pada pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Sukarelawan PH Johor, di Johor Bahru malam tadi yang dihadiri lebih 100 penyokong.

Mukhriz kemudian meminta hadirin mendengar sendiri ucapan Presiden Umno Najib Razak ketika perasmian Perhimpunan Agung MCA, yang diperdengarkan kepada umum oleh Mukhriz melalui telefon pintarnya.

“Pilihan di tangan anda. Beritahu komuniti Cina, DAP tidak akan boleh tubuh kerajaan, realitinya pada PRU lepas mereka menang pun tidak boleh tubuh kerajaan.

“Mereka tidak boleh buat yang terbaik dari PRU lepas, tak boleh, termasuk jika mereka buat dengan baik pun mereka tetap tak boleh tadbir kerajaan,” suara Najib kedengaran dalam rakaman dimainkan Mukhriz itu.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata Najib sendiri menegaskan DAP tidak akan mampu mentadbir kerajaan seperti didakwa oleh Shahrizat.

“Ini kata-kata Najib sendiri. Zaman media sosial, yang mana ucapan dia di MCA walaupun berbeza daripada ucapan dia di dalam Ummo kita semua tetap dapat tonton sebab ada Youtube.

“Jadi ini masalahnya, bercanggah kenyataan sesama mereka,” kata Mukhriz.

Semalam, Ketua Setiausaha PH Saiduddin Abdullah berkata Umno atau Barisan Nasional (BN) sering menggunakan taktik “menakut-nakutkan” dalam usahanya untuk menarik minat pengundi dan akan memberikan kenyataan berbeza untuk orang Melayu dan Cina.

Sementara itu, Pengerusi PH Johor Muhyiddin Yassin berkata Johor kini bukan lagi kubu kuat BN dalam PRU14 nanti.

“Mereka kata Johor ini ‘blue state’, warna biru iaitu warna BN. Saya kata mana ada biru lagi, ia sudah kelabu sekarang,” katanya.

Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berkata, Najib belum membubarkan Parlimen kerana tidak pasti waktu paling sesuai untuknya berbuat demikian.

Beliau berkata laporan agensi kerajaan yang diterima Najib pastinya menggusarkan hatinya apabila menyedari sokongan kepada BN semakin merosot.

“Dulu tengok JB (Johor Bahru) Shahrir Abdul Samad menang berkali-kali tetapi sekarang JB pun akan tumbang kepada PH,” katanya sambil disambut sorakan hadirin.

Muhyiddin berkata PH bukan saja berpeluang menambah bilangan kerusi Parlimen mereka selepas PRU14, mereka juga mampu merampas Johor dari tangan BN.

“Kita dah ada 19 kerusi DUN yang kita menang. Nak menang Johor kita hanya perlu ada menang 29 kerusi untuk dapatkan majoriti mudah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.

Selain Pagoh, PH kini mempunyai lima lagi Ahli Parlimen di Johor iaitu Lim Kit Siang (Gelang Patah) Liew Chin Tong (Kluang), Er Teck Hwa (Bakri), Teo Ni Ching (Kulai) dan Mohd Idris Jusi (Batu Pahat).

Program semalam turut dihadiri pimpinan kanan PH Johor termasuk Liew, Pengarah Pilihan Raya PH Johor Salahuddin Ayub, Pengerusi PKR negeri Hassan Karim, Pengerusi Bersatu negeri Shahruddin Md Salleh dan juga Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.