MUKHRIZ: PEMUDA UMNO BEDAL TIKET PIALA M’SIA

Ketika kemarahan penyokong Kedah memuncak kerana gagal mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia, bekas menteri besarnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesyaki ia mungkin disorok.

“Mereka beri tiket itu kepada kumpulan penyokong. Dan katanya ada senarai NGO itulah, pertubuhan inilah.

“Benda ini selalu berlaku dan saya tak tahu macam mana dia orang boleh biarkan perkara ini berlaku.

“Dan daripada maklumat yang saya dapat Pemuda Umno Kedah sendiri yang dok bedak (edar) tiket,” dakwa Mukhriz yang juga bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Muhriz pernah membangkitkan dakwaan sama di akuan media sosialnya sebelum ini.

“Umno Kedah (bedal) tiket #pialamalaysia2017 kepada penyokong depa saja. Yang tak sokong & tak hirau politik – terlepas. Tak adil! @hijaukuning,” katanya melalui Twitter.

Beliau berkata demikian mengulas kehabisan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dengan Kedah, Sabtu ini selepas sejam ia dijual.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan beratus-ratus penyokong skuad Kedah menyerbu depan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Alor Setar kerana kecewa tiket habis.

Bashah akan kena ‘boo’ lagi?

Bercakap kepada pemberita selepas program santai bersama penyokong di ibu negara semalam, Muhriz mengesyaki kegiatan itu dilakukan bagi mengelakkan penggantinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kena ‘boo‘ dengan penyokong.

“Ada dua sebab, satu kononnya sebagai habuanlah kepada penyokong ini dan keduanya dia nak mengelak supaya tak berlaku lagi kejadian boo kalau MB Kedah masuk dalam stadium.

“Jadi nak mengelak daripada itu mereka mahu pastikan orang-orang dia saja datang ke stadium,” katanya.

Mac tahun lalu, langkah sulung Bashah ke Stadium Darul Aman di Alor Setar selepas bergelar Menteri Besar disorak “lebih 17,000 penyokong Kedah”.

Mengulas sama ada perkara itu mungkin berulang, Mukhriz juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata beliau tidak dapat menjaminnya.

“Saya tak boleh jamin itu tak akan berlaku, jangan kata itu arahan saya, saya tak boleh nak mengarah penyokong tapi kalau nak terjadi, terjadilah dan itu dia kena tanggunglah.

“Tapi ini bukan cara dialah nak sekat orang daripada tengok bola,” tegas Mukhriz.

Kedah sebagai juara bertahan dan pemenang Piala FA bakal berdepan juara Liga Super musim ini, JDT, di Shah Alam.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pemuda Umno negeri dan KFA berkaitan dakwaan itu.

– M’kini

.