MUKHRIZ: ORANG MUDA SELESA DENGAN BERSATU

KUALA LUMPUR – Orang muda dilihat lebih selesa untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbanding Umno/BN.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, 45 peratus ahli parti tersebut adalah berumur 40 tahun ke bawah dan ia juga menunjukkan bahawa Bersatu lebih dimonopoli oleh golongan muda.

“Boleh saya katakan di sini bahawa Bersatu ini adalah parti orang muda kerana ramai golongan ini merasa selesa untuk bersama dengan parti ini.

“Malahan dalam perbincangan bersama orang-orang muda ini ramai di antara mereka yang mengakui bahawa tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyertai Umno namun perasaan itu berbeza dengan Bersatu,” katanya ketika ditemui di Pejabat Bersatu, Bukit Damansara, hari ini.

Semalam, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), mengesahkan setakat ini sebanyak 41 peratus pendaftar parti Bersatu adalah terdiri daripada golongan anak muda dalam lingkungan had umur antara 18 hingga 35 tahun.

Catatan tersebut membuktikan Armada adalah merupakan tunjang terpenting dalam parti tersebut dalam mengetengahkan suara anak muda.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mendapatkan undian anak muda ini dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dalam menentukan kemenangan parti tersebut.

“Jika lihat beberapa PRU sebelum ini, undian anak muda adalah sebagai penentu kemenangan, sebab itulah, kehadiran ramai penyokong anak muda di dalam Bersatu dianggap sebagai satu kelebihan.

“Oleh sebab itu jugalah, Bersatu memberi banyak tumpuan dan usaha untuk penuhi cita rasa dan inspirasi anak muda ini,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.