MUKHRIZ NAFI BERTANDING NAIB PRESIDEN UMNO UNTUK JADI PM

MUKHRIZ Mahathir hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi yang beliau bertanding jawatan naib presiden Umno pada 2013 bukan bertujuan menjadikan ia jalan baginya menjadi perdana menteri.

Menjawab soalan peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Mukhriz yang kini timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata pemimpin Umno yang memegang jawatan timbalan presiden parti pun belum tentu dapat menjadi perdana menteri.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes saman fitnahnya yang difailkan terhadap setiausaha akhbar perdana menteri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad di mahkamah hari ini.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini memegang jawatan timbalan presiden Umno, tetapi disingkir Majlis Tertinggi parti Melayu terbesar itu pada tahun lalu kerana “pelanggaran disiplin.”
Jahaberdeen yang mewakili Tengku Sharifuddin juga mempertikaikan temu bual Mukhriz bersama akhbar South China Morning Post (SCMP) pada 22 April, 2016 yang beliau tidak berhasrat menjadi perdana menteri.

Katanya, kenyataan Mukhriz itu bercanggah dengan jawapan dalam penyata saksi plaintif (Mukhriz) yang mengatakan beliau tidak pernah mengumumkan kepada mana-mana media kononnya beliau tidak ada cita-cita menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah itu menjelaskan ketika wawancara bersama akhbar antarabangsa itu, beliau masih lagi bersama Umno.

Mukhriz memberitahu mahkamah beliau boleh menjelaskan maksud dalam wawancara itu jika terdapat kekeliruan, bagi membalas kenyataan Jahaberdeen itu.

“Kalau kenyataan ini mengelirukan, kerana memang ada laporan wawancara dengan South China Morning Post mengatakan sebaliknya.

“Saya boleh menukar ayat supaya lebih jelas iaitu saya mengakui pada 22 April, 2016 dalam satu wawancara akhbar, saya pernah mengatakan saya tidak mempunyai cita-cita menjadi perdana menteri, bagi menjawab soalan yang mengaitkan dakwaan Tun Mahathir mengkritik perdana menteri semata-mata untuk mengangkat saya menjadi perdana menteri,” katanya.

Mukhriz memfailkan saman pada 3 Mei, 2016 kerana mendakwa Tengku Sharifuddin mengeluarkan empat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya pada 15, 20, 23 dan 26 April, 2016.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Dr Mahathir dan Muhyiddin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Mukhriz diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim itu disambung esok.

– https://www.themalaysianinsight.com

.