Mukhriz mahu bertanding di Kedah bukan Putrajaya

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu bertanding di Kedah dan bukannya di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam temu bual dengan Sinar Harian, naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, beliau akan membawa parti itu ke Kedah dan bertanding di situ.

“Saya sendiri akan mengetuai BERSATU di Kedah (Pengerusi BERSATU Kedah), malah saya juga akan bertanding di Kedah. Kawasan mana biarlah dirahsiakan dulu.

“Telahan konon saya akan bertanding di Putrajaya oleh pihak tertentu adalah silap. Saya pilih Kedah,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Mukhriz adalah ADUN Ayer Hitam dan pada 2008 memenangi kerusi Parlimen Jerlun.

Katanya, BERSATU mendapat sambutan menggalakan apabila penyertaan terhadap parti itu kini mencecah 500,000 ahli.

Malah menurutnya, terdapat juga ahli Umno yang menyerahkan borang bagi menyertai BERSATU.

“Ada yang berjawatan dalam Umno sertai BERSATU, ada yang serah borang senyap-senyap kerana menunggu masa sesuai untuk umum. Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian pun ada sertai kami.

“Ini petanda positif. Kita tidak paksa sesiapa, ini atas keinginan mereka yang mahukan perubahan. Ramai kalangan rakan-rakan lama dalam Umno pun berminat, mereka mesra BERSATU tapi tetapi belum daftar,” katanya.

Mukhriz turut berharap orang ramai menyertai BERSATU di Kedah bukan kerana simpati kerana dirinya dilucutkan jawatan sebagai menteri besar.

Katanya lagi, mereka yang menyertai BERSATU haruslah bersedia untuk mengubah minda dalam menghadapi pertukaran kerajaan di peringkat pusat kerana pihaknya mahu menyelamatkan negara daripada pelbagai kemelut.

“Kita bukan rakus kuasa atau jawatan, sebaliknya jelas dalam perlembagaan parti kami menolak rasuah dan salah guna kuasa atau jawatan. Ini bukan sekadar cakap kosong, atau mahu pancing sokongan.

“Disebabkan itu, pemimpin BERSATU dikenakan syarat bersumpah jawatan dengan memegang al-Quran,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, pihaknya turut mengesan borang keahlian palsu yang tersebar di Perak dan Pulau Pinang.

“Saya ingin tegaskan terdapat nombor siri pada borang asli untuk rekod pendaftaran selain untuk elak pemalsuan ahli. Borang atas talian juga boleh diakses untuk kemudahan,” katanya.

Mukhriz berkata walaupun BERSATU adalah parti baru, namun pihaknya mengakui diganggu dan dihalang dari membuka kaunter pendaftaran di tempat awam. – M’kini

.