MUKHRIZ, KIT SIANG DICABAR BUAT AKUAN BERSUMPAH

KUALA LUMPUR  – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir perlu membuat akuan bersumpah bagi menafikan dakwaan beliau mahu menjadi Perdana Menteri.
Bekas Naib Presi­den DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga digesa mengambil tindakan serupa bagi mengisy­tiharkan beliau tidak pernah berhasrat untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau, Mukhriz dan Kit Siang juga tidak sepatutnya menyalahkan pihak lain yang mendedahkan peranca­ngan tersebut kerana mereka sendiri enggan menamakan siapa yang layak memegang jawatan Pengerusi serta Timbalan Pengerusi bagi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Janganlah menyalahkan pihak yang mendakwa mereka cuba menyembunyikan fakta bahawa Kit Siang akan menjadi calon Timbalan Perdana Menteri bagi pakatan berkenaan daripada pengetahuan orang Melayu.

“Samanlah saya selepas mereka membuat akuan bersumpah tersebut. Itu hak mereka sekiranya mereka ingin berbuat demikian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jumaat lalu, Tunku Abdul Aziz mendakwa, wujud pakatan sulit antara Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Moha­mad serta Kit Siang berhubung siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dakwa Tunku Abdul Aziz, tanpa penge­tahuan parti-parti sekutu lain te­r­­utama PKR, ke­dua-dua pe­mimpin itu membuat perjanjian rahsia untuk melantik Mukhriz sebagai Perdana Menteri manakala Kit Siang pula sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kelmarin, Mukhriz menafikan dakwaan tersebut dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tunku Abdul Aziz sekiranya beliau gagal mendedahkan bukti serta sumbernya.

Kit Siang dalam kenyataan melalui laman blog beliau, 
https://blog.limkitsiang.com pada 27 Disember lalu turut menafikan dakwaan tentang hasrat beliau mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Berhubung desakan Mukhriz itu, Tunku Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak akan mendedahkan identiti individu yang mendedahkan maklumat tentang pakatan sulit antara Dr. Mahathir dan Kit Siang.

“Dalam apa jua situasi, saya akan melindungi identiti pemberi maklumat berkenaan dan hanya saya seorang yang sepatutnya dipertanggungja­wab­kan atas tindakan saya,” jelasnya.

Sementara itu, Kit Siang enggan me­ngulas lanjut ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mendapatkan reaksi beliau tentang dakwaan Tunku Abdul Aziz tersebut manakala usaha untuk menghubu­ngi Mukhriz gagal.

– UTUSAN

.