Mukhriz kekal Presiden Ansara

SHAH ALAM- Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara SeMalaysia (Ansara) akan mengekalkan jawatan Presiden kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir walaupun ada gesaan meminta pemimpin itu diturunkan.

Naib Presidennya, Mohamad Riadz Tan Sri Mohamad Hashim berkata, Ansara masih melihat Mukhriz sebagai presiden dan pemimpin utama, walaupun dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) yang berlangsung pada 25 September lalu, ahli dari Ansara cawangan Muar, meminta Mukhriz mengambil cuti ‘leave of absence’ yang secara tidak langsung tidak lagi menyatakan sokongan kepada pemimpin itu.

“Ahli itu turut membangkitkan tentang kedudukan Mukhriz yang kini menyertai parti pembangkang. Ansara tidak pernah campur tangan dalam soal pegangan politik ahli”, katanya kepada Sinar Harian.

Lagipun, kata Mohamad Riadz, sepanjang 22 tahun Mukhriz mengemudi persatuan, beliau tidak gunakan kedudukannya untuk pengaruhi mana-mana ahli menyokong fahaman politik yang disertainya ketika itu, dan hari ini, pegangannya masih begitu.

Baru-baru ini akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Mukhriz meletakkan Ansara di satu kedudukan sukar ekoran pendirian beliau memilih menyertai Bersatu sebagai pembangkang setelah dipecat daripada Umno.

“Kami tidak nafikan ada ahli Ansara bergiat dalam lapangan politik, namun atas semangat Alumni MRSM seluruh Malaysia, ukhuwah kami masih utuh, masing-masing boleh berpolitik di atas landasan apa sahaja. Kebebasan dan hak adalah sama rata”, katanya.

Mohamad Riadz berkata, Ansara selama-lamanya akan bekerjasama dengan parti pemerintah dan masih teguh memfokuskan kepada pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial untuk ahli dan masyarakat setempat.

Namun, jika parti pemerintah menyusahkan rakyat, ia menjadi tanggungjawab Ansara untuk bersuara membela rakyat dan tidak salah Ansara beri kritikan membina ke mana mana pihak.

Katanya, sejak ditubuhkan, MRSM telah melahirkan ramai tokoh dan pemimpin yang begitu dikagumi ramai. Secara langsung, tokoh dan pemimpin ini juga adalah ahli Ansara.

“Sekiranya ingin menyatakan rasa tidak setuju, kita masih ada platform untuk bantah. Seharusnya persatuan ini digilap membentuk suara yang lebih kuat, bukan saling menjatuhkan antara satu sama lain”, katanya.

– Sinar Harian

.