Katanya, apa disebarkan itu adalah sebahagian daripada tindakan pihak tertentu yang cuba mengadu domba untuk memburuk-burukkan imej Bersatu.

“Itu perkara biasa dalam politik. Ada pihak cuba ambil kesempatan kerana Bersatu masih baru,” katanya.

Mengulas desas-desus hubungan beberapa pemimpin Bersatu, antaranya Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dikatakan semakin renggang akibat konflik dalaman parti, Mukhriz berkata, apa juga ketidaksefahaman telah diatasi.

“Tiada masalah dalaman yang serius. Jika ada masalah pun kecil sahaja dan telah diselesaikan,” katanya.

Mukhriz turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kecewa dan merajuk kerana dipinggirkan daripada Bersatu sehingga beliau bertindak menubuhkan parti lain di Sabah.

“Tidak timbul isu kecewa atau merajuk. Sebenarnya dari awal lagi Mohd Shafie isytihar untuk ketuai parti baharu di Sabah. Kami bersedia jalin kerjasama dengan beliau untuk bantu kemenangan parti Warisan Sabah (Warisan),” katanya.

Mukhriz

Menurutnya, tidak mustahil Bersatu dikatakan mulai diselubungi bibit-bibit perpecahan kerana sehingga kini gagal memuktamadkan pimpinan peringkat Pusat dan negeri.

“Itu bukan gambaran sebenar. Kita belum umum bukan kerana masing-masing berebutan jawatan atau melobi pemimpin. Tidak salah untuk kita ambil masa sedikit memilih pemimpin paling layak terajui kepimpinan peringkat tertinggi,” katanya.

Mukhriz berkata, sebaiknya parti itu memberi tumpuan kepada menambah keahlian parti berbanding memilih ketua kalangan ahli sedia ada.

“Masih terlalu awal untuk lantik ketua di setiap negeri. Saya harap ambillah peluang ini untuk kita buat pemilihan yang tepat demi kebaikan parti,” katanya.

Menurutnya, walaupun belum mencecah dua bulan didaftarkan, Bersatu menerima maklum balas yang memberangsangkan, menyebabkan tapisan kepimpinan masih dibuat.

SINAR HARIAN