MUKHRIZ BERI NAJIB TEMPOH HINGGA RABU

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memberi tempoh sehingga tengah hari Rabu ini kepada Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf atau tindakan mahkamah boleh diambil terhadap beliau.

Peguam Mukhriz, Haniff Khatri Abdulla, mengesahkan kepada Malaysiakini, notis tuntutan itu sudah dihantar dan diterima Pejabat Perdana Menteri.

“Anak guam kami berpendapat bahawa kenyataan itu telah diperkirakan oleh anda untuk mengganggu perbicaraan saman fitnah Mukhriz terhadap Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad mulai Khamis ini,” kata surat berkeaan.

Notis yang dihantar itu juga menuntut perdana menteri membuat permohonan maaf terbuka sebelum 1 petang 12 Julai ini.

Jika Najib gagal berbuat demikian, kata notis itu, Mukhriz berhak mengambil sebarang tindakan yang perlu mengikut undang-undang bagi melindungi kepentingannya.

Tuntutan itu dibuat sebagai reaksi Mukhriz terhadap kenyataan Najib yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menjadikan anaknya itu sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir adalah bekas presiden Umno dan pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Bagaimanapun Dr Mahathir dan anaknya itu kini menjadi tokoh penting pembangkang dengan masing-masing memegang jawatan pengerusi dan timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Semalam Mukhriz mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap Najib ekoran kenyataan dibuat pada 7 Julai lalu.
Kata Mukhriz dakwaan itu dianggap sangat jijik dibuat oleh seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kerajaan.

Mukhriz juga mendakwa Najib cuba memberi tekanan kepada mahkamah menjelang perbicaraan saman beliau terhadap Tengku Sariffuddin.

– M’kini

.