MUHYIDDIN: UMNO MAKIN GELABAH DENGAN MELAYU

Umno tidak akan mampu menahan gelombang “tsunami Melayu” yang bakal melanda kubu-kubu kuatnya, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Selaras dengan musim persidangan perwakilan Umno bahagian sekarang ini, Muhyiddin berkata beliau dapat merasakan bahawa pemimpin Umno semakin gusar dan gelabah serta menggunakan pentas persidangan untuk membangkitkan semangat ahli-ahli parti dengan menyerang dirinya dan BERSATU.

“Apa yang saya katakan sebagai trust deficit orang Melayu terhadap Umno sedang berlaku dengan pantas.

“Saya percaya, gelombang defisit kepercayaan Melayu ini akan bertukar menjadi tsunami Melayu yang besar dalam pilihanraya umum ke-14 dan menyaksikan perubahan kerajaan selepas itu,” katanya.

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu, kehadiran ribuan orang ramai pada Rumah Terbuka BERSATU, negeri yang dianggap sebagai kubu kuat Umno selepas Johor membuktikan sokongan orang Melayu semakin meningkat kepada parti itu.

“Saya merasakan bahawa pemimpin Umno sedang gelabah. Mereka tahu bahawa rakyat dan orang Melayu sendiri, termasuk ahli-ahli Umno di akar umbi sedang menolak Umno.

“Dalam setiap program anjuran BERSATU, ribuan orang Melayu hadir dan ramai daripada mereka dahulunya adalah penyokong Umno,” katanya sambil menambah ini termasuk di kawasan-kawasan Felda yang dahulunya adalah kubu kuat Umno.

Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini tidak pernah berjaya ditembusi oleh parti pembangkang tetapi kini menyaksikan ribuan yang hadir untuk mendengar ucapan pemimpin parti itu.
“Kerana itu, pemimpin Umno seperti (Datuk Seri) Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan (Datuk) Razali Ibrahim kelihatan semakin gusar,” katanya.

Antara lain, Muhyiddin merujuk ugutan Zahid, Sabtu lalu untuk mendedahkan ‘aib’ Tun Dr Mahathir Mohad jika pengerusi BERSATU itu terus bersuara mengkritik Najib.

– M’kini

.