MUHYIDDIN: ‘TERBEBAN DENGAN KOS SARA HIDUP, RAKYAT AKAN UNDI HARAPAN’

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kenaikan kos sara hidup di bawah kerajaan sekarang akan menyebabkan rakyat memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Timbalan Presiden HARAPAN itu berkata, ia dapat dilihat setiap kali beliau turun ke lapangan, serta berdasarkan kajian yang dijalankan HARAPAN sejak tahun 2016.

“Kita tidak mahu ini (kenaikan kos sara hidup) berlaku, tetapi hakikatnya ia berlaku di seluruh negara berdasarkan kajian yang dibuat pada 2016 dan 2017.

“Terbukti bahawa antara masalah utama yang dihadapi rakyat adalah kenaikan kos sara hidup dan GST,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

“Isu subsidi sudah dilupakan dan GST menjadi faktor yang dominan di mana sahaja,” katanya lagi selepas sesi bertemu masyarakat di Pasar Dato’ Keramat, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, kerajaan gagal bertindak untuk memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga barang yang tinggi, tidak seperti ketika beliau menjadi menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kira-kira dua dekad lalu.

“Ketika saya jadi menteri dulu (1999-2003), saya datang ke pasar setiap dua minggu untuk lihat harga barang agar tidak membebankan,” katanya.

Dalam sesi bertemu masyarakat yang dibuatnya, beliau berkata rata-rata yang ditemuinya berkata sudah tiba masanya untuk menukar kerajaan.

“Sentimen sangat jelas. Mereka sendiri berkata inilah masanya untuk mereka lakukan perubahan,” katanya lagi.

– M’kini

.