MUHYIDDIN: SAYA AKAN SOKONG AKTA 355 JIKA…

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tiada halangan untuk menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 2016 atau Akta 355 apabila dibahas dan diundi dalam sidang Parlimen akan datang.

Sambil menyifatkan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan pindaan akta itu sebagai tidak munasabah, Muhyiddin berkata, rang undang-undang (RUU) itu bukanlah bertujuan melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia.

“Malah ia hanyalah pindaan kepada undang-undang sedia ada sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 1984 dan 1989. Bezanya sebelum ini, pindaan dilakukan menerusi RUU kerajaan, bukan RUU persendirian.

“(Oleh itu), sekiranya pandangan-pandangan yang saya kemukakan diambil kira, saya tiada halangan untuk menyokong RUU ini apabila ia dibahas dan diundi dalam sidang parlimen akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Antara pandangan-pandangan itu, kata Muhyiddin, ialah apabila RUU tersebut diluluskan, perlu ada jaminan pesalah bagi kesalahan ini dan yang seumpamanya tidak dikenakan hukuman penjara atau denda yang terlalu berat dan tidak setimpal apabila had hukuman penjara dinaikkan ke tiga puluh tahun dan denda sehingga RM100,000.

“Satu lindung jamin mestilah diadakan di dalam RUU ini untuk memastikan pesalah menerima hukuman yang adil dan setimpal berlandaskan hukum Syarak. Pindaan ini juga masih lagi mengikat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengadakan hukuman dalam tiga bentuk hukuman sahaja iaitu pemenjaraan, denda dan sebatan.

“DUN masih tidak boleh mengadakan hukuman lain seperti mewajibkan hadir solat berjemaah di masjid untuk suatu tempoh tertentu atau melakukan kerja-kerja amal bagi orang yang melakukan kesalahan seperti tidak bersolat Jumaat, tidak berpuasa di bulan Ramadhan atau seumpamanya yang saya fikir lebih sesuai untuk tujuan mendidik daripada dikenakan hukuman denda atau penjara semata-mata,” katanya.

Tambah Muhyiddin, beliau menyebut perkara ini kerana bimbang jika tidak berhati-hati dalam hal ini mungkinakan berlaku sikap melampau (overzealous) dalam fahaman dan amalan agama yang akan mewujudkan kecenderungan untuk menghukum pesalah jenayah syariah secara semberono tanpa mengambilkira aspek keadilan dalam Islam.

Untuk itu, katanya, wajarlah bentuk dan had hukuman yang terkandung dalam RUU itu dikaji semula untuk tujuan penambah baikan.

Selain itu, tegas Muhyiddin, aspek pemerkasaan mahkamah Syariah tidak seharusnya hanya terfokus kepada peluasan bidang kuasa jenayah mahkamah sahaja tetapi juga mestilah secara pentadbirannya mencakupi usaha-usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai mahkamah, termasuk hakim dan pendakwaraya.

“Peningkatan kecekapan dan profesionalisme mahkamah Syariah adalah amat penting untuk menjamin mahkamah Syariah dapat melaksanakan fungsinya sebagai penegak keadilan khususnya untuk umat Islam di Malaysia.

“Untuk tujuan ini, kerajaan mestilah menyediakan sumber-sumber yang mencukupi kepada mahkamah Syariah, baik dari segi kewangan, kepakaran dan sumber manusia.

“Sudah sampai masanya para hakim Syarie Mahkamah Tinggi ke atas tidak lagi tertakluk sebagai penjawat awam dan satu skim khas sebagai mana hakim mahkamah sivil dibentuk bagi hakim Syarie seluruh Malaysia,” katanya.

Yang penting bagi beliau, ujar Muhyiddin, ialah pembentangan RUU tersebut mestilah untuk kebaikan umat Islam dan tidak melihatnya dari perspektif lain termasuk politik.

Mengulas lanjut, kata beliau, usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Marang itu adalah usul memperluaskan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah dalam menentukan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang melanggar perintah agama Islam dalam kalangan penganut agama Islam.

Seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi pelanggaran perintah agama Islam adalah kuasa negeri, namun begitu, kuasa ini boleh dihadkan oleh Akta 355, katanya.

Pada ketika ini, Akta 355 mengehadkan hukuman yang boleh dibuat oleh DUN iaitu tiga tahun penjara, denda lima ribu ringgit dan enam kali sebatan dan jika usul pindaan diluluskan, DUN boleh meningkatkan had hukuman kepada tiga puluh tahun penjara, seratus kali sebatan dan denda RM100,000, tambah beliau.

“Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, saya melihat RUU 355 masih tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“RUU ini tidak mewujudkan kesalahan-kesalahan baharu tetapi hanya meningkatkan hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan-kesalahan sedia ada dalam kalangan orang Islam sahaja.

“Rang undang-undang ini tidak terpakai ke atas orang bukan Islam sebagaimana diulang-ulang di dalam Jadual Kesembilan Perlembagan Persekutuan, juga disebut di dalam Akta dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta 355 sendiri,” katanya.

Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa undang-undang Islam di Malaysia hanya terpakai ke atas orang-orang Islam sahaja dan prinsip ini tidak berubah dengan pindaan yang dicadangkan, katanya.
Mengenai tindakan Pandikar menangguhkan perbahasan RUU itu, katanya, sebaiknya ahli-ahli Parlimen diberi peluang memberikan pandangan dan pengundian dilakukan pada hari tersebut sebagaimana yang menjadi kelaziman dalam setiap pembentangan usul dan RUU di Dewan Rakyat.

“Saya kerap ditanya oleh pelbagai pihak mengenai Rang Undang-Undang ini dan saya nyatakan bahwa saya akan memberikan pendapat saya semasa ia dibahaskan di Parlimen.

“Oleh kerana perbahasan tidak dibenarkan dan isu ini telah berlarutan sejak sekian lama serta menjadi polemik dalam masyarakat, terutamanya dalam kalangan umat Islam, maka saya berasa terpanggil untuk memberikan pandangan mengenainya,” jelasnya.

– M’kini