MUHYIDDIN: RUNDINGAN KERUSI PAKATAN HARAPAN HAMPIR SELESAI

KUALA LUMPUR – Rundingan dan penelitian bagi pembahagian kerusi antara parti-parti komponen Pakatan Harapan hampir selesai dalam menghadapi PRU14.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini, Pakatan Harapan telah menetapkan tempoh untuk memuktamadkan proses rundingan berhubung pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang lain.

“Sebagai contoh, bagi kerusi-kerusi Parlimen, kita harap pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini.

“Bagi kerusi-kerusi negeri pula, prosesnya sudah bermula namun ia akan mengambil sedikit masa memandangkan terdapat banyak kerusi perlu diperhalusi terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan calon perdana menteri, Muhyiddin berkata perkara itu amat penting malah ia turut dibincangkan di beberapa peringkat bagi mengenal pasti individu yang benar-benar layak untuk memimpin negara sekiranya Pakatan Harapan menewaskan Umno-BN dalam PRU14 ini.

Beliau berkata, Bersatu sememangnya sudah mempunyai pendirian mengenai perkara ini malah calon perdana menteri tersebut juga sebaiknya diumumkan sebelum PRU14 nanti.

“Ini melibatkan soal keyakinan dan rakyat akan meletakkan kepercayaan serta sokongan mereka itu dengan mengharapkan sesuatu iaitu kepimpinan,” katanya.

– Sinar Harian

.