MUHYIDDIN: ‘RAKYAT TAK TERBEBAN JIKA KERAJAAN JAGA KEBAJIKAN’

SHAH ALAM – Rakyat tidak akan terbeban dengan kos sara hidup sekiranya masyarakat bernaung di bawah kerajaan yang telus menjaga kebajikan rakyat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya kerajaan benar-benar prihatin dengan nasib rakyat, kerajaan akan lebih berhati-hati dalam menangani kos kenaikan harga minyak negara ini.

“Saya menerima maklum balas keluhan rakyat berkaitan kenaikan harga petrol pada awal bulan ini ketika kos barang-barang keperluan semakin meningkat. Perkara ini mampu ditangani jika kerajaan lebih bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.

“Sebaliknya, pentadbiran kerajaan dilihat tidak telus, pembaziran yang melampau dan pengurusan kewangan yang tidak efisien sehingga mengakibatkan ekonomi negara tidak menentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Harga petrol dan diesel kini berada pada paras tertinggi sejak Januari 2016 ekoran kenaikan terbaru sebanyak 20 sen mulai 1 Februari lalu.

RON95 kini dijual pada harga RM2.30 seliter manakala RON97 RM2.60 seliter. Diesel pula berada pada harga RM2.15 seliter.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya berani bertekad serta bersatu hati melakukan perubahan yang sedang melanda dan merosakkan negara.

“Segala kemungkaran pula harus ditentang supaya kehidupan generasi akan datang lebih terjamin,” katanya lagi.

– SH

.