Muhyiddin pula muncul beri sokongan kepada Anwar

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hadir pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang mahkamah, Muhyiddin berkata kehadirannya adalah untuk memberi sokongan moral kepada Anwar yang disifatkan sebagai ‘ketua umum’ PKR.

Malah selepas selesai perbicaraan, Muhyiddin turut bertemu Anwar di bilik saksi kira-kira 30 minit .

Ketika ditanya apakah perbincangan bersama bekas ketua pembangkang itu, Muhyiddin hanya tersenyum dan enggan menjawab soalan.

Bagaimanapun katanya, sebagai presiden BERSATU, penting untuk dirinya berjumpa Anwar bagi menjalin kerjasama bagi menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Beri sokongan moral kepada Datuk Seri Anwar dalam perbicaraan yang sedang berjalan. Dah lama tak jumpa.

“Lebih-lebih lagi beliau adalah de facto PKR, saya rasa penting sebagai presiden BERSATU untuk jalinkan hubungan supaya kerjasama kita harap akan terjalin dan akan jadi satu kenyataan.

“Jadi kita harap dengan ini, kerjasama yang hendak kita jalin untuk (membina) satu pakatan yang kukuh untuk hadapi BN pada pilihan raya umum akan datang akan dapat dilaksanakan,” katanya.

– M’kini

.