MUHYIDDIN PUJI UMNO ‘DULU’, BUKAN UMNO SEKARANG

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji Umno dahulu, bukan Umno yang sekarang, kata Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut Mahathir, Umno yang sekarang jauh berbeza dengan Umno ‘lama’, yang mana Umno kini lebih dianggap sebagai pengkhianat kepada bangsa Melayu.

“Apabila Muhyiddin mengaku Umno dan BN telah membangun dan memaju negara Malaysia, maka pembodek pun gembira dengan pengakuan ini.
“Kenyataan ini adalah berkenaan Umno dan BN dahulu yang memerdekakan dan membangun Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin baru-baru ini mengakui kejayaan kerajaan pimpinan BN dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara membangun dan model negara Islam.

Kata Muhyiddin, pembangunan itu diusahakan oleh BN dan Umno menerusi satu pucuk kepimpinan yang diwarisi dan tidak boleh dinafikan memandangkan Malaysia bermula sebagai sebuah negara yang tidak memiliki apa-apa selepas merdeka.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, BN sepatutnya sedar yang pentadbiran dan pembangunan Malaysia tidak lagi dijadikan contoh kepada negara lain.

“Umno dan BN yang disebut oleh Muhyiddin bukan Umno pimpinan Najib dan konco-konconya sekarang.

“Sesungguhnya nama baik Umno dan BN sudah dicemar sehingga beralih kepada nama yang dibenci oleh rakyat dan dipandang hina oleh dunia,” katanya lagi.

– SH

.