MUHYIDDIN PILIHAN TERBAIK JADI PM, KATA PEMIMPIN BERSATU

Seorang pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berpendapat presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih merupakan calon terbaik untuk jawatan perdana menteri jika pembangkang menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya kenal rapat dengan Muhyiddin, saya percaya beliau layak jadi perdana menteri,” katanya kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Ini di sebalik dakwaan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu terpalit dalam hubungan sulit dengan isteri seorang tokoh perniagaan.

“Saya tidak melihat ini sebagai satu skandal, hanya dakwaan. Saya tidak fikir ini akan menjadi masalah, “katanya.

Beliau diminta mengulas jika BERSATU sedia menerima Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri sementara, manakala ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat menjadi perdana menteri interim seperti yang dicadangkan oleh pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

Beliau bagaimanapun, berkata parti itu tidak akan mendesak supaya Muhyiddin dipilih sebagai calon perdana menteri pada mesyuarat Pakatan Harapan.

Namun, menurutnya, BERSATU, hanya akan membincangkan perkara itu jika rakan-rakan dalam Pakatan Harapan membawa isu itu pada mesyuarat nanti.
“Berikan kami masa berbincang secara kolektif dahulu. Saya rasa kita boleh mencapai keputusan dengan cara yang baik,” katanya.

Pemimpin kanan itu enggan mengulas apabila diajukan soalan jika BERSATU sedia menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara atas kesalahan meliwat sebagai calon perdana menteri.

– M’kini

.