MUHYIDDIN PERTIKAI KEBOLEHAN SHAHRIR

KULAI – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikai kebolehan Pengarah Felda yang baharu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengembalikan semula kegemilangan institusi berkenaan.

Menurutnya, jika benar pemimpin tersebut mahu melakukan perkara tersebut apakah usaha yang dijalankan terlebih dahulu dalam membasmi masalah penyelewengan dan isu dalaman yang dialami lembaga berkenaan.

“Saya dengar pengerusi Felda yang baharu itu mahu kembalikan semula kegemilangan Felda seperti satu masa dahulu jadi saya tidak tahu bagaimana dia nak selesaikan masalah sebegini.

“Mungkin dia pun sebagai pengerusi dah ketinggalan zaman kerana tidak melihat dengan jelas masalah yang dihadapi Felda sekarang tidak seperti dahulu kerana sekarang ia sudah rosak dibuat oleh pihak pimpinan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Kasih Bersatu Kulai di Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Muhyiddin turut mendakwa, kemerosotan prestasi Felda juga berpunca daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, korupsi dan campur tangan pihak kerajaan yang tidak amanah serta tidak menampakkan hasilnya.

“Dulu kita tahu hasil daripada nilai syarikat dan nilai korporat hasil yang ada di bawah Felda memang cukup besar sehingga bernilai berbilion ringgit. Tetapi, hairan bagaimana pada waktu yang cukup singkat segala apa yang telah dibina untuk puluhan tahun boleh hancur begitu sahaja.

“Selain itu, sebahagian besar daripada harta dan saham daripada Felda juga dilihat sudah tidak mempunyai nilai ditambah pula dengan kekuatan kewangan yang agak lemah. Ini semua hanya memberi kesan buruk kepada peneroka,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai rancangan sesuai bagi menyelesaikan perkara tersebut yang bermula dengan memberikan penerangan kepada kesemua peneroka mengenai masalah yang sedang dialami Felda sekarang.

– Sinar Harian

.