MUHYIDDIN PERNAH MENARUH HARAPAN PADA KJ

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui pernah meletakkan harapan tinggi kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kata Muhyiddin, sebagai pemimpin Pemuda Umno, menteri belia dan sukan itu sepatutnya “sarat dengan idealisme orang muda”.

Justeru, kata beliau, dalam keadaan sekarang Khairy wajar mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan yang disandang ketika ini.

“Sebaliknya, Khairy memilih untuk mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bersara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Muhyiddin yang sebelum ini dipilih anggota Umno sebagai timbalan presiden mereka, mengulas kenyataan dibuat Khairy pada 9 Julai lalu.

Khairy yang juga anggota parlimen Rembau berkata, ada tiga ahli politik yang wajar bersara kerana mereka didakwanya memecahbelahkan rakyat.

Individu yang dimaksudkan itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Dr Mahathir.

Menurut Muhyiddin, tindakan mendesak seorang pemimpin parti pembangkang yang tidak mempunyai apa-apa kuasa supaya bersara bukanlah satu bentuk keberanian.

Sebaliknya, kata beliau, mendesak Najib berundur ketika perdana menteri itu mempunyai segala kuasa di tangannya adalah lambang keberanian anak muda yang sebenar.
“Adakah Khairy dan barisan kepimpinan Pemuda Umno masih memiliki idealisme pemuda? Atau adakah idealisme Pemuda Umno telah hilang entah ke mana kerana dijangkiti virus cash is king?” katanya.

Ungkapan “cash is king” dipopularkan oleh Dr Mahathir ketika mengkritik kerajaan dan parti pimpinan Najib.

Ia merujuk kepada penggunaan wang oleh pemimpin parti bagi mendapatkan sokongan daripada anggota bawahan mereka.

– M’kini

.