MUHYIDDIN, PAGOH DAN PERMATANG PAUH

Kerusi parlimen Pagoh yang terletak di hilir sungai Muar, sudah sekian lama menjadi kubu Umno sejak diwujudkan pada tahun 1974.

Justeru, kerusi itu tidak pernah dianggap panas kerana Umno sentiasa akan menang.

Walau bagaimanapun, semua ini berubah apabila ahli parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari Umno tahun lalu kerana lantang membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Muhyiddin, selaku presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini akan berusaha memastikan tradisi kemenangan BN di Pagoh pada pilihan raya umum ke-14 akan berakhir.

Namun, sekiranya berjaya, beliau bukan timbalan perdana menteri yang dipecat pertama untuk melakukan sedemikian.

Terdapat persamaan di antara kerusi Pagoh dan kubu kuat BN di Permatang Pauh suatu ketika dahulu sebelum bertukar menjadi kubu PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional), selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998.

Muhyiddin, seperti Anwar, adalah ahli parlimen BN kedua yang bertanding di kawasan majoriti Melayu berkenaan sejak kerusi itu diwujudkan.

Kedua-dua mereka itu telah berkhidmat untuk tempoh panjang sebelum dipecat, dengan Anwar di Permatang Pauh selama 17 tahun. Muhyiddin pula, kecuali jurang dua penggal ketika beliau menjadi menteri besar Johor, telah berkhidmat selama 29 tahun sebagai ahli parlimen Pagoh ketika dipecat.

Sekiranya Muhyiddin berjaya mengulangi kejayaan Anwar, yang dilakukannya melalui isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tamparan itu akan memberi kesan hebat ke atas BN.

Pagoh dan kawasan parlimen sekitarnya – kecuali Bakri yang dimiliki pembangkang – telah diketahui sebagai batu loncatan untuk pemimpin BN untuk mendapatkan jawatan di Putrajaya.

Empat daripada enam kerusi parlimen BN bersehampiran Pagoh melihat penyandangnya memegang jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan persekutuan.

Kerusi BN sekitar Pagoh itu adalah Ledang (Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri), Segamat (Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam), Sekijang (Anuar Abd Manap), Labis (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong), Ayer Hitam (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong), Parit Sulong (Datuk Noraini Ahmad).

Secara tradisinya, kebanyakan penduduk sekitar Pagoh terlibat dalam sektor pertanian dan ladang sawit yang berdekatan dengan kawasan sungai Muar.

Mereka tentunya juga masih ingat bagaimana Muhyiddin sebagai pemimpin yang pengaruhnya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan cuba mengubah kawasan itu menjadi hab pendidikan utara untuk Johor melalui Bandar Universiti Pagoh.

Bandar baru ini telah mempunyai tiga universiti dan satu kolej politeknik iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Malaysia dan Politeknik Malaysia Tun Syed Nasir.

Bandar Universiti Pagoh, yang terletak hanya dalam jarak lima kilometer dari Lebuhraya Utara-Selatan, juga bakal menjadi tempat persinggahan bagi perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura di Muar.

Legasi Muhyiddin

Ahli akar umbi Umno seperti setiausaha cawangan Umno Felda Maokil 4, Miskam Salman berkata mereka tidak akan meninggalkan parti itu untuk Muhyiddin tetapi mengakui sumbangannya.

“Dewan SMK Maokil (bernilai) RM2.5 juta, memang besar. Dewan Serbaguna, peruntukan masjid RM800,000 pada tahun 2015, sangat cantik. Ini semua Muhyiddin buat,” katanya kepadaMalaysiakini ketika ditemui di sebuah kedai kopi.

Atas sebab itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin, yang juga adalah pengerusi perhubungan Umno negeri, mengelakkan daripada secara langsung membidas Muhyiddin, kerana bimbang ini tidak disenangi anggota Umno yang tidak berpuas hati dan menyertai BERSATU.

Sebaliknya, semasa mesyuarat perwakilan Umno Pagoh bulan lalu, beliau menggesa ahli-ahli maju bergerak melewati nostalgia itu.

Menurut sumber-sumber Umno tempatan, 700 daripada 23,000 anggota Umno di Pagoh telah menyertai BERSATU.

Bagaimanapun, operatif BERSATU di Pagoh memberitahu Malaysiakini yang mereka telah merekrut sekurang-kurangnya 4,000 anggota Umno menyertai parti itu.

Dengan menarik hampir 20 peratus anggota Umno masih tidak mencukupi untuk memastikan kemenangan BERSATU di Pagoh tetapi ditambah pula dengan penyokong pembangkang yang lain, BERSATU boleh, buat kali pertamanya, memberi cabaran yang serius di kawasan pilihan raya.

Di bawah BN, Muhyiddin telah memenangi Pagoh dengan majoriti 12,842 undi semasa pilihan raya umum lepas.

Kuncinya ialah sebahagian besar ahli yang masih setia kepada Umno tetapi mungkin tidak puas hati dengan layanan terhadap Muhyiddin, yang masih tetap dihormati ramai.

Mengikut senarai pengundi pilihan raya dalam suku pertama 2016, Pagoh mempunyai sejumlah 46,968 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 66 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan empat peratus kaum India.

Di peringkat negeri, Jorak mempunyai 25,555 pengundi – 59 peratus Melayu, 35 peratus Cina dan lima peratus adalah orang India.

Bukit Serampang mempunyai 21,413 pengundi yang terdiri daripada 71 peratus orang Melayu, 26 peratus Cina dan dua peratus kaum India.

Bagi BErSATU, Jorak akan menjadi kunci untuk menawan Pagoh manakala bagi Umno, Bukit Serampang adalah jawapannya. Kedua-duanya adalah kawasan pilihan raya negeri di Pagoh.

Jorak adalah kawasan di mana terletaknya Bandar Universiti Pagoh. Ahli Dewan Undangan Negerinya, Datuk Sharuddin Md Salleh telah keluar Umno dan menyertai BERSATU. Begitu juga dengan beberapa pemimpin akar umbi.

Jumlah pengundi bukan Melayu yang lebih besar di Jorak berbanding dengan Bukit Serampang juga dilihat akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

Atas sebab ini, BERSATU Pagoh menumpukan seluruh kekuatannya di Jorak.

– M’kini

.