MUHYIDDIN, MUKHRIZ PERLU LEBIH “LAJU” URUS PPBM, JANGAN HANYA BERHARAP AURA TUN M

PPBM secara dasarnya ditubuhkan untuk menyaingi serta mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Ia adalah wadah baru bagi orang-orang Melayu setelah UMNO sekarang ini lebih dipergunakan kedudukannya untuk membela dan mempertahankan Najib Razak semata-mata.

PPBM amat beruntung kerana ada Tun Mahathir Mohamad di dalam parti itu selaku pengerusinya. Tun Mahathir harus diakui mempunyai aura besar kepada masyarakat kerana kepintaran, jasa dan sumbangannya selama 22 tahun mentadbir negara. Tanpa Tun Mahathir, PPBM tidak mungkin mampu ke mana-mana.

Di pihak pengurusan parti, PPBM ada Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir selaku gandingan peneraju yang turut dibantu oleh Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua-ketua sayap dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Untuk tujuan menyaingi dan mengalahkan UMNO serta menjadikan parti itu dan Najib akhirnya hilang kuasa melalui pilihanraya, pengaruh Tun Mahathir adalah senjata utamanya. Ditambah dengan Tun Mahathir sudah berbaik dengan Anwar Ibrahim dan diikuti dengan PPBM telah menjalin kerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan, UMNO yang sudah di hujung tanduk kedudukannya sejak menanggung beban Najib, Rosmah dan keluarganya, sebenarnya semakin menghampiri tanah perkuburan situasinya.

Tidak saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti, orang bandar, separa bandar, profesional dan golongan muda yang semakin meluat dengan UMNO di bawah kepimpinan Najib, malah ramai ahli parti itu sendiri akan melakukan penderhakaan dengan sama ada tidak keluar mengundi atau memberi kemenangan kepada parti alternatif dalam pilihanraya akan datang.

Orang kampung dan orang Felda pun sudah ramai yang beralih angin dan enggan memberikan undi mereka kepada UMNO dan BN.

Rata-rata rakyat sudah sedar bahawa memberi lanjutan kuasa kepada UMNO dan BN tidak lagi bererti apa-apa kepada mereka, sebaliknya hanya bertujuan menyelamatkan kedudukan Najib semata-mata. Setelah menang, silap-silap lagi banyak subsidi akan ditarik dan GST pula dinaikkan lagi untuk membayar hutang yang semakin menimbun.

Tetapi untuk memastikan PPBM dapat memainkan peranan yang berkesan dalam usaha mengalahkan UMNO bersama Pakatan Harapan, parti itu mestilah diurus dengan baik, cekap dan laju. PPBM tidak boleh bergerak terlalu perlahan macam kura-kura seperti sekarang dan hanya bergantung semata-mata kepada aura serta pengaruh Tun Mahathir.

Ia mesti pantas bergerak dan cepat menyelesaikan sama ada urusan pentadbiran, gerak kerja, mahu pun masalah-masalah yang timbul.

Team pengurusan PPBM yang diketuai oleh Muhyiddin dan Mukhriz seharusnya tidak berlengah-lengah lagi memastikan parti itu berjalan lancar, sementara aura Tun Mahathir ditumpukan semaksima mungkin peranannya untuk menarik sokongan rakyat.

Apa yang terlihat selama ini hanya peranan Tun Mahathir yang berjalan dengan baik dalam menarik sokongan rakyat. Beliau hampir sepanjang masa bergerak, berceramah, bertemu dengan pelbagai pihak, berfikir, meluahkan pandangan, menghadiri forum, menulis di blog dan macam-macam lagi.

Dalam usianya mencecah 91 tahun, kesungguhannya untuk memulihkan negara ini amat mengkagumkan dan amat menyentuh hati. Di sinilah kekuatan Tun Mahathir dalam menggenggam bara perjuangannya.

Namun, bagaimana dengan pengurusan parti yang sepatutnya digerakkan dengan cekap dan pantas oleh Muhyiddin, Mukhriz serta pasukannya?

Adakah ia telah dan sedang berjalan dengan baik? Apa yang rakyat dapat lihat mengenai PPBM setakat ini?

Selain hanya menubuhkan barisan kepimpinan di peringkat pusat, mengapa kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di seluruh negara masih belum dibentuk lagi sehingga ke hari ini?

Bila lagi mahu diumumkan dan dibentuk? Sudahkah digerakkan pasukan untuk meninjau ke negeri, bahagian dan cawangan bagi tujuan itu?

Bukankah tarikh pilihanraya sudah semakin dekat? Bagaimana jika tiba-tiba Najib mengumumkan tarikh pilihanraya ialah pada Mac atau April nanti?

Sudahkah ditubuhkan jentera pilihanraya di pusat-pusat daerah mengundi?

Sempatkah digerakkan semuanya sekaligus menjelang pilihanraya nanti?

Mana program-program besar PPBM di seluruh negara yang mampu menyerlahkan ia sebagai parti yang mahu menggantikan UMNO?

Sokongan rakyat kepada PPBM dan agenda perubahan, khususnya untuk menyingkirkan Najib memang tengah “cantik” ketika ini, tetapi aura dan pengaruh Tun Mahathir saja tidak mencukupi untuk tujuan itu.

Ia mesti dibantu oleh pengurusan dan pentadbiran PPBM yang cekap, berkesan dan tersusun. Malah, aura dan pengaruh Tun Mahathir boleh tenggelam dan tewas disebabkan pengurusan parti yang perlahan dan tidak cekap.

Muhyiddin dan Mukhriz perlu bingkas segera. Jangan terlalu perlahan dan lambat. Gerakkanlah parti dengan segera dan sebaik-baiknya. Janganlah juga bercuti lama-lama ke luar negara. Menyelamatkan negara lebih penting daripada segala-galanya.

Lagi pula, semasa berkuasa dulu, bukankah sudah tiap-tiap tahun pergi bercuti dengan keluarga?

Dalam mengurus PPBM dan memastikan ia mampu berjaya mengalahkan UMNO serta menyingkirkan Najib yang bergelar bilionwan, jangankan pergi bercuti, Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya juga “tidak boleh tidur pun” bermula sejak tertubuhnya parti itu sehinggalah tarikh PRU 14 akan datang.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.