MUHYIDDIN: ‘LEBIH BAIK UNTUK HARAPAN JIKA UMNO, PAS BERGABUNG’

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mempunyai peluang lebih baik untuk menang pada pilihan raya umum akan datang jika PAS bergabung dengan Umno, kata Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, katanya, HARAPAN akan berdepan dalam pertandingan satu lawan satu dan bukannya pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita dalam Pakatan Harapan akan terus mengatur langkah, untuk menghadapi hakikat bahawa PAS tidak lagi bersama kita, kita mungkin berhadapan tentangan tiga penjuru.

“Tetapi baik juga kalau mereka (PAS) nak bergabung dgn Umno, kita tentang dua penjuru, peluang lebih besar untuk menang.

“Apa-apa pun, strategi akan kita susun untuk mendapatkan kejayaan,” katanya pada sidang akhbar di Kedah, yang ditayangkan secara langsung di Facebook, pagi ini.

Presiden BERSATU itu juga membidas PAS kerana sanggup bekerjasama dengan Umno.

“Mereka kata tak menyokong parti yang ada dalam Pakatan Harapan, tapi mereka sanggup bersekongkol dengan Umno, yang kita tahu sejak sejarah awal sampai sekarang pun mereka kata Umno ini bukan parti Islam dan mereka menentang segala apa yang dilakukan oleh Umno dan BN.

“Kita sudahpun jelaskan hari ini bahawa Umno ini dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa, jadi menghairankan kami mengapa PAS sanggup berkerjsama, sedangkan PAS ini katanya parti Islam…,” kata bekas timbalan perdana menteri dan bekas timbalan presiden Umno itu.

Yakin tawan Kedah

Minggu lalu, Majlis Syura Ulama PAS mengekalkan keputusan yang dibuat pada Muktamar tahunan parti itu untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR.

Semalam, Ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, berkata ada sekumpulan lima individu PAS yang bertanggungjawab untuk menggagalkan rancangan kedua-dua parti itu untuk bekerjasama.

Beliau menuduh kumpulan itu bekerja keras untuk menjalin hubungan dengan Umno.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan itu dan menyalahkan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai punca kegagalan kerjasama mereka.
Sementara itu, Muhyiddin pada sidang akhbar hari ini, melahirkan keyakinannya bahawa pakatan Harapan mampu menawan Kedah.

“Saya yakin kita boleh menang. Secara peribadi, saya berasakan bahawa mereka (pengundi) marah kepada kerajaan berhubung GST dan kos hidup yang tinggi,” katanya.

Dr Mahathir dikatakan masih mempunyai sokongan akar umbi di Kedah, manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang juga adalah timbalan Presiden BERSATU, pernah menjadi menteri besar sebelum dipecat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

– M’kini

.