MUHYIDDIN DILANTIK PENGERUSI PAKATAN HARAPAN JOHOR

JOHOR BAHRU – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Johor, hari ini.

Pemilihan Muhyiddin adalah sebulat suara daripada parti-parti lain di bawah pakatan sendiri termasuk DAP, PKR, serta Amanah selepas mesyuarat peringkat negeri pertama diadakan di pejabat Bersatu Johor.

Manakala, Timbalan Presiden Amanah, Salehuddin Ayub pula dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Johor.

Ditanya sama ada pelantikan Muhyiddin membawa makna beliau bakal dinamakan sebagai Menteri Besar Johor pembangkang sekaligus turut bertanding di kerusi Dun, beliau berkata, perkara itu terserah kepada peringkat pusat.

“Tidak semestinya, itu soalan cepumas. Saya fikir keputusan yang muktamad akan dibuat oleh PH di peringkat pusat.

“Itu terserah kepada budi bicara dan muafakat antara pimpinan parti-parti yang ada tentang siapa yang akan mengepalai kerajaan ini kalau sekiranya atau bila sampai masanya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Muhyiddin juga masih berteka teki sama ada beliau kekal bertanding di Parlimen Pagoh di kawasan lain pada PRU14 nanti.

“Itu kita akan putuskan. Sehingga hari ini saya ada di situ (Pagoh), saya masih lagi wakil rakyat serta pengerusi Bersatu Pagoh. Ramai orang suka saya di Pagoh.

“Jadi, ia akan diputuskan bila sampai masa yang sesuai. Saya kira bukan sahaja di Pagoh, tetapi kerusi-kerusi lain juga,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau masih menerima sokongan padu daripada penduduk di kawasan Pagoh sendiri dan terserah kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilainya.

“Ini terbukti apabila saya menubuhkan parti di Pagoh kerana saya menerima sokongan yang luar biasa apabila turun ke bawah. Tidak mengapa kalau andaian Umno yang saya tiada penyokong, baguslah.

“Biarkan mereka (Umno) dibuat mimpi yang elok sedangkan hakikatnya tidak begitu. Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk menilainya kerana mereka tahu saya yang membantu membangunkan Pagoh. Saya yakin, orang Pagoh lebih tahu,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.