Muhyiddin belum jawab jemputan ke Forum Nothing To Hide 3.0

KUALA LUMPUR  – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) masih menunggu jawapan daripada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung jemputan untuk menyertai Forum Nothing To Hide 3.0.
Presiden JMM, Az­wan­ddin Hamzah berkata, walaupun telah berulang kali jemputan diberikan, namun Muhyiddin terus mengelak daripada menjawab serta menerima jemputan tersebut.

“Jemputan juga telah dibuat secara terbuka melalui media dan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya, namun sehingga kini masih tiada jawapan daripada beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azwanddin berkata, forum tersebut merupakan platform terbaik untuk Muhyiddin memberikan pencerahan mengenai Akaun Bersumpah (SD) yang melibatkan perceraian antara Stanley Cle­ment Agustin dan isterinya, Nika Ghee Siew Yee.

“Dalam SD itu bertarikh 7 Di­sember tahun lalu mendakwa Nika bertemu Muhyiddin di luar negara dan menyatakan juga mengenai skandal Muhyiddin dengan Nika semasa beliau menjadi Menteri Besar Johor.

“Ini membuatkan JMM ingin tahu apakah tindakan Muhyiddin terhadap SD tersebut kerana jika terdapat fitnah, beliau harus menyaman Stanley untuk mempertahankan maruahnya,” katanya.

Menurutnya, JMM ingin me­nge­tahui langkah atau tindakan yang akan dilakukan oleh Muhyiddin untuk membersihkan namanya.

“Adalah sangat menghairankan beliau masih berdiam diri dan tidak mempertahankan maruahnya yang dikaitkan dengan perceraian pasangan suami isteri berkenaan.

“Perkara ini boleh dijawab dengan mudah oleh beliau sebagaimana Muhyiddin sering mempersoalkan ramai pihak mengenai pelbagai isu, tetapi apabila melibatkan diri sendiri, beliau tidak mahu menjelaskan perkara sebenar. Sikap berdiam diri Muhyiddin menjadi tanda tanya kepada masyarakat,” katanya.

– UTUSAN

.