MUHYIDDIN AKUI BERSATU DILANDA GELOMBANG KELUAR PARTI

BALIK PULAU – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui parti itu kini dilanda gelombang keluar parti oleh anggotanya khususnya di Perak yang tidak puas hati dengan keputusan pucuk pimpinan.

Katanya beliau masih menunggu angka sebenar yang keluar Bersatu di Perak.

“Saya sudah tahu siapa di belakang yang cuba mengapi-apikan anggota supaya keluar parti secara beramai-ramai berikutan pelantikan Ketua Bersatu Perak,” katanya kepada pemberita selepas  majlis bebruka puasa bersama presiden Bersatu di sini hari ini.

Dalam laporan bulan lalu, lebih 1,000 anggota Bersatu Perak diketuai Ketua Penaja Bahagian Bersatu Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penaja Bahagian Bersatu Teluk Intan Jemaat Yaacob isytihar keluar parti, berkuat kuasa serta merta susulan kegagalan Muhyiddin menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat pusat dan negeri walaupun tempoh seminggu telah diberikan kepada beliau.

Muhyiddin berkata, keputusan untuk melantik ketua parti  di negeri-negeri dibuat hasil perbincangan oleh pucuk pimpinan parti.

– Bernama

.