MUFTI TERIMA KEJUTAN

PETALING JAYA – Di zaman serba moden, aplikasi sembang seperti WhatsApp,Telegram danWechat ternyata menjadi pilihan orang ramai untuk mengirim ucapan istimewa kepada insan tersayang.

Tetapi bagaimana jika anda menerima ucapan yang dihantar khas menggunakan kad dan dikirim menggunakan surat lengkap bersetem.

Begitulah kejutan yang diterima Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila menerima kad ucapan Hari Raya yang dikirim si cilik.

“Pagi ini setiba di pejabat, seperti biasa kami meneliti timbunan surat-surat yang diterima. Mata tertancap (terpaku) pada sepucuk surat yang tertulis ‘Salam Aidilfitri’. Entah mengapa seakan ada kelainan pada surat ini.

“Kami membukanya dengan penuh berhati-hati dan berasa sangat terkejut. Kad raya daripada seorang anak kecil kepada Mufti Wilayah Persekutuan!,” kata Zulkifli di halaman Facebook mufti berkenaan pada Isnin.

Mufti Wilayah Persekutuan turut memuat naik dua gambar kad ucapan Hari Raya kiriman Nayli Nur Zara Mohd Idzhar yang menyebut: “Assalamualaikum Datuk Mufti, Selamat Hari Raya. Jemput datang rumah Nayli.”

Zulkifli yang teruja menerima kad ucapan berkenaan turut memuji kerana ia turut memaparkan lukisan yang menarik.

“Kepada adik Nayli, kami ucapkan jutaan terima kasih kerana sudi menghantar kad raya kepada kami. Sangat cantik lukisannya. Kami amat suka dengan konsep kad ini. Ringkas, comel dan menarik.

“Jika ada kelapangan masa, kami akan singgah memenuhi hajat adik Nayli. Kalau adik Nayli membaca ‘post’ ini, sampaikan salam kepada ibu ayah,” katanya.

Menurut Zulkifli, beliau tidak menyangka masih ada individu yang mengirimkan kad raya seumpama itu di zaman teknologi dengan aplikasi WhatsApp dan Wechat.

“Kami berasa amat terharu dan seakan-akan terimbau zaman 90an dimana ketika itu, kad raya adalah penghubung utama silaturrahim antara keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

“Anda di luar sana masih mengamalkan budaya mengutus kad raya sebegini?,” katanya.

– ANN

.