MUFTI: TAK BOLEH DIAMKAN DIRI JIKA ADA KEMUNGKARAN

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyambut baik kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa anggota PAS kini semakin bersikap lunak terhadap Umno.

Menulis di Facebook, katanya, beliau melihat bukan daripada isu kerjasama politik tetapi lebih kepada kerjasama hubungan sesama umat Islam diperkukuhkan.

“Berita yang menarik. Semoga mendapat rahmat Allah buat kedua-dua pihak.

“Semoga kita semua menjadi umat yang satu dengan kepada hanya Allah kita menyembah. Kerjasama itu jika ikhlas sesuatu yang baik,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mustapa semalam bahawa anggota PAS kini semakin bersikap lunak terhadap Umno apabila tidak lagi memainkan isu kafir-mengkafir dan pulau-memulau antara penyokong sehingga menyebabkan pergeseran dalam masyarakat.

Pemimpin Umno Kelantan itu juga dilaporkan berkata, beliau yakin orang Islam semakin insaf dan sedar bahawa mereka perlu bersatu.

Mengulas lanjut, Dr Asri pada masa sama mengingatkan umat Islam bahawa mereka tidak boleh mendiamkan diri jika ada kemungkaran dalam pengurusan politik dan pentadbiran rakyat.

“Hubungan sesama Muslim diperkukuhkan namun tugas kehidupan Muslim iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran mestilah berterusan,” kata mufti itu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut ataupun menyentuh mana-mana isu mengenai kemungkaran pengurusan politik dan pentadbiran rakyat itu.

Rakyat hari berdepan dengan pelbagai cabaran hidup termasuk berdepan dengan kos sara hidup yang meningkat, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan kenaikan barangan keperluan, sedangkan pentadbiran negara terpalit dengan beberapa skandal, termasuk 1MDB dan SRC International.

MKINI