MUFTI PERLIS SERTAI SERBUAN, KATA ISTERI AKTIVIS

Isteri kepada aktivis Amri Che Mat, Norhayati Ariffin mendakwa, mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut ada ketika serbuan polis terhadap Amri dan NGO Perlis Hope pada 2015.

Beliau berkata demikian ketika hari pertama inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Amri di negeri itu, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan kira-kira 20 anggota polis dan pegawai jabatan agama mengepung rumah mereka dan pejabat Perlis Hope di sebelah.

Katanya, ketika itu suaminya tiada di rumah. Norhayati berkata lagi, beliau yang ketika itu berada di dalam menyedari serbuan itu apabila mendengar ada orang yang menjerit kepada anak perempuannya yang berusia 10 tahun yang bermain di luar.

“Polis mula menjerit ‘Mana ayah kamu? Mana ayah kamu?’. Tindakan mereka agak kasar.

“Saya keluar dan polis memperkenalkan saya kepada Dr Maza (Mohd Asri). Beliau meminta kebenaran untuk masuk, tapi saya tak beri kerana suami tiada di rumah,” katanya yang menjadi saksi pertama dalam inkuiri itu.

Norhayati berkata lagi, pegawai jabatan agama juga memecah masuk pejabat Perlis Hope, sementara polis bertanya tentang Amri dan kegiatan NGO itu yang diasaskannya beberapa bulan sebelumnya.

Amri kemudian pergi ke pejabat mufti untuk berjumpa dengan Mohd Asri keesokannya, katanya lagi.

Pada mulanya, Norhayati menamakan Majlis Agama Islam Perlis (MAIP) sebagai jabatan yang terlibat dalam serbuan itu, namun kemudiannya ragu-ragu ketika panel memintanya menjelaskan sama ada pegawai tersebut mungkin daripada jabatan lain, seperti pejabat mufti atau jabatan agama negeri lain.

Pengerusi panel Datuk Mah Weng Kwai meminta Norhayati mengingat kembali butiran serbuan itu, sebelum menangguhkan sesi untuk rehat tengah hari.

Amri merupakan salah seorang daripada empat individu hilang – Paderi Raymond Koh, Joshua Hilmy dan isterinya Ruth – sekitar penghujung 2016 dan awal 2017.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengatakan kehilangan Amri berkaitan dengan ajaran Syiah dan penyebaran mazhab itu.

– M’kini

.