MUFTI PERLIS: ADA HADIS TENTANG PUKUL MUKA

Masalah yang wujud antara guru dan murid seperti yang dihadapi Cikgu Azizan perlu diselesaikan secara harmoni, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Malah menurut Mohd Asri, mana-mana ibu bapa juga perlu mencari penyelesaian terbaik jika mereka mempunyai masalah dengan cara guru mendidik anak mereka.

Bagaimanapun, katanya, terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang menyebut tentang larangan memukul muka.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan, tindakan memukul wajah sama ada oleh guru mahupun ibu bapa perlu dielakkan.

“Ya benar (ada hadis tentang memukul muka). Wajah merupakan tempat yang paling mulia pada tubuh insan.

“Secara umumnya saya berpendapat kes (Cikgu Azizan) itu patut terlebih dahulu diselesaikan secara harmoni.

“Dalam masa yang sama, kita wajar tahu bahawa muka sama ada anak ataupun murid hendaklah dielakkan. Wajah tempat ciuman dan kasih sayang,” katanya kepada¬†Malaysiakini.

Dalam hadis Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu hendak memukul saudaranya (dengan tujuan dibenarkan syarak) hendaklah dia menjauhi dari memukul mukanya”.

Dalam tulisan di Facebook, Mohd Asri mempersoalkan kewajaran sama ada perlu dihukum atau memalukan individu yang mendidik anak.

“Jika guru itu bermaksud mendidik anak kita, sementara kita berkhilaf (tak setuju) dengan caranya, maka berbicaralah dahulu dengannya mencari penyelesaian yang terbaik.

“Wajarkah untuk dia (guru) terus dihukum dan dimalukan atas hasrat baik ingin mendidik anak kita?

“Pada zaman ramai tenaga pengajar malas menjadi pendidik, sekadar menjadi penyampai maklumat untuk gaji bulanan, maka bersyukurlah kita jika masih ada guru yang masih ingin mendidik dan mendisiplinkan murid-muridnya,” katanya.

Cikgu Azizan atau nama sebenarnya Azizan Manap dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa menampar pelajarnya atas kesalahan disiplin seperti menghidu gam, terlibat dalam pergaduhan dan membuli pelajar lain.

Bagaimanapun, pada Selasa lalu, Mahkamah Majistret Seremban melepas tanpa membebaskan  Azizan, 44, daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada Oktober lalu selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes berkenaan ditarik balik.

– M’kini

.