MUFTI: DOBI ‘MUSLIM SAHAJA’ AMALAN SEMPIT

Tindakan pengusaha sebuah kedai dobi di Muar, Johor, yang hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja adalah satu amalan agama yang sempit, kata Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, amalan itu bertentangan dengan Islam yang memudahkan penganutnya, pada masa sama tidak sesuai dalam masyarakat yang pelbagai agama dan budaya.

“Semua pandangan yang sempit seperti ini akan membawa negara kita ke arah ekstremisme dan hilang imbangan untuk hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan budaya.

“Islam itu agama yang hidup dan beraksi dengan persekitaran secara seimbang. Fikah itu ke arah memudahkan bukan menyusahkan,” kata Mohd Asri kepada Malaysiakini.

Kedai dobi itu mula diperkatakan selepas tular di laman sosial 23 September lalu.

Menurut gambar yang tersebar, kedai tersebut meletakkan papan tanda tertera “Dobi ini hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian”.

Pengendali dobi itu ketika ditemui sebuah akhbar Cina enggan menyatakan sebab syarat itu dikenakan, dab hanya berkata melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Beliau juga enggan mengulas adakah tindakan itu kerana bimbang jika orang bukan Islam membawa unsur “tidak bersih” seperti bulu anjing ke kedainya.

Fikah yang mudah

Perkara itu disokong Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Nooh Gadut yang berkata, orang Islam dan bukan Islam perlu menjamin pakaian yang dicuci di kedai dobi layan diri dalam keadaan bersih daripada najis mughallazah (najis berat).

“Yang Islam perlu pandang isu najis mughallazah sebaab najis dan kotor lain (berbeza), kotor boleh buat sembahyang. Sebab itu mesti dibersihkan dulu (pakaian) dan baru boleh masuk dalam mesin basuh,” katanya dipetik Harian Metro.

image: https://i.malaysiakini.com/1158/c582b1efd41632a91ea27b5ac231075d.jpeg

Malah ia juga disokong Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin dan berkata dobi itu tidak sepatutnya menimbulkan tanggapan buruk di kalangan orang bukan Islam.

Katanya, Islam memang mementingkan kebersihan dan kewujudan dobi itu boleh membuang perasaan ragu-ragu berhubung aspek kesucian pakaian mereka.

Berbeza pandangan dengan pandangan itu, Mohd Asri menasihatkan umat Islam agar memilih hukum fikah yang mudah dan praktikal, selain jangan membuat andaian berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan mereka

“Jika asal sesuatu bahan itu bersih, tidak zahir padanya najis sama ada dari segi warna, bau ataupun rasa, maka ia dikira bersih.

“Andaian yang berlebihan sehingga menyusahkan kehidupan bukan ajaran Nabi Muhammad yang mudah dan memudahkan kehidupan manusia,” katanya.

Jika berterusan, katanya lagi, ia akan membawa kepada lebih banyak kepada hal pemisahan antara orang Islam dan bukan Islam yang tidak wajar.

“Saya bimbang nanti ada menggesa orang Islam tidak boleh guna duit yang telah digunakan orang bukan Islam. Ini kerana mereka mengandaikan mungkin ada najis semasa duit itu bertukar tangan.

“Kemudian perlu diasingkan pula bekas makanan yang digunakan orang bukan Islam di restoran. Takut nanti ada kesan khinzir di mulut mereka,” katanya lagi.

– M’kini

.