MUFTI: BUKAN SAYA, SYIAH YANG TAK DEMOKRATIK

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas kenyataan Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath yang mendakwa beliau melakukan banyak penindasan hak asasi manusia.

Mohd Asri menafikan dirinya melanggar hak asasi manusia dan mendakwa mazhab Syiah sebenarnya lebih tidak demokratik.

Ini kerana, menurut Mohd Asri, dalam struktur kepimpinan Syiah, individu yang bukan dari keturunan Ahlul Bait (ahli keluarga nabi) tidak boleh dilantik menjadi pemerintah atau pemimpin.

“Ada konon seorang hamba Allah itu cakap saya tak hormat hak asasi. Ini saya nak cerita pasal hak asasi. Saya nak cerita hak asasi dalam Syiah, dalam Syiah dan dalam politik (Syiah), dah dia minat politik sangat.

“Syiah ini, (pemimpin mereka) tidak boleh dilantik selain daripada Ahlul Bait untuk jadi pemerintah, pemimpin. Ini pun dah tak demokratik dah.

“Semua geng habib, geng yang konon Ahlul Bait berserban hitam sahaja boleh jadi. Lepas itu, Syiah ini imam mereka maksum, tak boleh dipertikaikan.

“Kalau (konsep kepimpinan) Syiah datang ke negara ini, nanti demokrasi ke mana, apa ke mana.

“Jadi, nak cakap pasal hak asasi manusia, banyak hak asasi manusia yang mereka (Syiah) tak ada,” kata Mohd Asri yang dipetik dari video yang dikongsi Facebook beliau.

Mohd Asri bagaimanapun tidak menyebut secara khusus nama Khalid tetapi merujuk kepada “hamba Allah” yang menulis di Malaysiakini.

Khalid semalam mengeluarkan kenyataan mendakwa Mufti Perlis itu telah banyak melakukan penindasan hak asasi manusia antaranya menyerbu kediaman Amri.

Malah, aktivis itu juga meminta agar pihak media terutamanya portal berita untuk tidak memberikan sebarang liputan kepada Mohd Asri kerana mendakwa mufti itu bukan seorang yang berlapang dada dan berfikiran terbuka.

Mohd Asri berkata demikian sebagai mengulas isu kehilangan aktivis Perlis Hope Amri Che Mat ketika menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Kangar, Perlis malam tadi.

Pada Isnin lalu, Malaysiakini melaporkan, isteri Amri, Norhayati Ariffin mendakwa Mohd Asri turut ada ketika serbuan polis terhadap Amri dan NGO Perlis Hope pada 2015.

Norhayati mendakwa, anggota polis yang lakukan serbuan itu menjerit kepada anak perempuannya serta pegawai jabatan agama pula memecah masuk pejabat Perlis Hope dan turut menafikan serbuan dilakukan ada kaitan dengan Syiah.

Bagaimanapun, semalam, Mohd Asri menyangkal kesemua kenyataan Norhayati dan memuat naik gambar ketika serbuan itu dibuat yang mempunyai kaitan dengan Syiah.

Sementara itu, menceritakan kembali, pendakwah itu memberitahu Amri ada hadir ke pejabatnya dan pertemuan itu berlangsung secara elok.

Katanya, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Amri ingin mengamalkan ajaran Syiah asalkan perkara itu tidak dihebohkan.

“Dia (Amri) datang (ke pejabat). Saya cakap elok-elok, saya cakap pada dia, saya kata: ‘Sheikh, kalau anta (kamu) nak Syiah dengan isteri, anak-anak dalam bilik berkunci, anta nak Syiah macam mana pun (kita) tak kacau sebab itu antara anta dengan Allah’.

“Orang tak tahu, nak buat apa kacau. Kita bukan disuruh ketuk pintu orang dan cari orang.

“Tapi bila buat amalan ini terbuka, jiran-jiran mengadu, kamu terpaksa siasat benda ini,” ujar Mohd Asri lagi.

Justeru, Mohd Asri memberitahu lagi, beliau ada meminta Amri untuk membawa ulama Syiah kepadanya agar satu sesi dialog dapat diadakan di hadapan pengikut Syiah.

– M’kini

.