MP Tenom: SPRM Perlu Siasat Pegawai Peringkat Persekutuan

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memperluaskan siasatannya terhadap kes rasuah di Sabah membabitkan RM114 juta termasuk menyiasat pegawai kementerian peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, skop siasatan seharusnya diperluaskan kerana pihak berkuasa yang meluluskan projek berkenaan adalah kementerian peringkat Persekutuan.

“Pelik jika kementerian tidak sedar sejumlah besar kekayaan yang dimiliki kedua-dua individu terbabit,” kata Raime.

Beliau berkata, menjadi amalan kepada kementerian Persekutuan untuk terus melantik kontraktor tanpa pembabitan kerajaan negeri.
Pada Jumaat, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kirtingan berkata, projek persekutuan berjumlah RM3.3 bilion adalah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang bukan dikendalikan Kementerian Pembangunan Infrastruktur yang diterajuinya.

Pairin berkata, peruntuan bagi projek berkenaan sejak 2010 itu disalurkan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerajui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah ketika itu sehingga 2015, selepas digugurkan dari Kabinet.

– Mstar

.