MP SINDIR NAJIB BERLAGAK DENGAN ‘KAWAN KAYA’

Cara perdana menteri menyambut kehadiran Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud ternyata mencolok mata pemimpin pembangkang.

Anggota parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyatakan rasa tidak selesanya dengan langkah Najib membandingkan reaksi terhadap kenaikan minyak di kedua-dua negara.

“Datuk Najib kelihatan gembira seperti budak sekolah berbangga membawa kawan dari keluarga orang kaya pulang ke kampung,” kata Raja Bahrin.

“Beliau tergamak pula perli dengan sombong rakyat Malaysia dengan menyatakan kita buat bising harga minyak naik 20sen (menjadi RM2.30 satu liter) sementara rakyat Arab Saudi harga naik 50 peratus (menjadi RM1.07 satu liter) tak apa apa pun!“

Berucap dalam acara di Kuala Lumpur semalam, Najib menyelar bantahan terhadap kenaikan minyak 10sen hingga 20sen di negara ini kerana di Arab Saudi, kenaikan minyak berlaku sehingga 50 peratus.

Arab Saudi kali terakhir dilapor menaikkan harga minyaknya pada 28 Disember 2015.

RON91 naik 20sen dari 0.45 riyal kepada 0.75 riyal manakala RON95 pula naik 30 sen dari 0.6 riyal kepada 0.9 riyal.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Raja Salman tiba untuk lawatan empat hari di negara ini kelmarin.

Dalam kenyataan hari ini, Raja Bahrin berkata keadaan ekonomi penduduk Malaysia dan Arab Saudi tidak sama.

“Sedarkah beliau rakyat Saudi begitu kaya, kebanyakan mereka memiliki kereta enjin besar lebih dari 4,000cc buatan Amerika?

“Mereka pun tidak membayar cukai pendapatan dan cukai kereta seperti kita di sini! Gaji mereka jauh lagi tinggi sementara kita gaji minimum yang diminta pun belum dikuatkuasakan.

“Sedarkah Najib perit derita rakyat hari ini di Malaysia atau kepalanya senantiasa di awang- awangan? “ kata Raja Bahrin.

Wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga menyindir tindakan Najib dan isterinya menaiki jet mewah kerajaan dengan minyaknya dibiayai oleh “peluh nelayan dan petani di kampung”.

“Semuanya ditanggung oleh rakyat marhaen. Macam Raja Arab Saudi mewahnya!” kata Raja Bahrin sambil mendakwa kenyataan Najib itu memperlekehkan rakyat Malaysia.

Latihan perang Northern Thunder

Sementara itu, Raja Bahrin mengaitkan lawatan Raja Salman itu dengan latihan perang Northern Thunder Arab Saudi dan sekutu-sekutunya sebelum ini.

Mendakwa terdapat penglibatan Arab Saudi dalam serangan di Yaman, Raja Bahrin berkata kerajaan masih membisu terhadap persoalan itu sejak dahulu lagi.

“Rakyat berhak mengetahui keadaan sebenarnya di Yaman dan peranan Malaysia,” katanya yang juga ketua biro antarabangsa AMANAH.

Raja Bahrin juga menimbulkan persoalan kenapa Raja Saudi begitu “tertarik” dengan Najib, memandangkan seluruh dunia didakwa menjauhi pemimpin yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu.

– M’kini

.