MP SERDANG: LAWAN UTAMA HARAPAN ADALAH BN, BUKAN PAS

Pakatan Harapan (HARAPAN) harus menumpukan perhatiannya untuk membanding dan membezakan gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN), dan bukannya terlalu obses menyerang PAS, Kata Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming.

Sebaliknya, kata beliau, HARAPAN perlu berusaha untuk memujuk pengundi yang bersimpati dengan PAS dalam PRU13, untuk beralih mengundi parti lain dalam gabungan terkenaan.

“Lawan politik utama HARAPAN di Selangor dan di negeri-negeri lain masih BN.

“Sekiranya HARAPAN terlalu obses menyerang PAS, ini pasti akan menolak sokongan pengundi yang bersimpati dengan PAS,” kata Ong (foto) yang juga ketua Institut Pulau Pinang di Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, HARAPAN boleh mengambil beberapa langkah untuk mempercepatkan ke arah pertandingan antara dua gabungan di Selangor.

Pertama, katanya, ia boleh dan perlu menjelaskan kepada pengundi bahawa PAS tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak kira apa juga keputusannya.

Ini, tambahnya, akan memberi dorongan seterusnya kepada pengundi pro-pembangkang untuk memilih HARAPAN dan bukan PAS, terutamanya jika mereka tidak mahu BN menawan semula kerajaan negeri Selangor.

Kedua, kata Ong, ia mesti secara aktif mendekati pengundi atas pagar dan mereka yang bersimpati dengan PAS untuk terus mengundi kerajaan HARAPAN di Selangor dalam PRU14.

Beliau berpandangan bahawa ramai pengundi di Selangor yang mengundi PAS dalam PRU13, terutamanya pengundi Melayu, boleh dipujuk untuk mengundi parti lain dalam HARAPAN, atas dasar ia boleh membentuk kerajaan yang akan datang di Selangor dan Putrajaya.

Menurut Ong lagi, memandangkan populariti Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor sekarang, terutama sekali di kalangan masyarakat Melayu, maka tidak ada sebab mengapa beliau tidak boleh memimpin HARAPAN di Selangor untuk mencapai kemenangan yang meyakinkan dalam PRU14, walaupun gabungan itu perlu menentang BN dan PAS dalam beberapa kerusi – termasuk kerusi Parlimen Gombak dan kerusi negerinya di Bukit Antarabangsa.

– M’kini

.