MP SEPANGGAR NAFI SOKONG WARISAN

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris menafikan beliau menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) sambil menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah.

Katanya, beliau masih lagi ahli parlimen BN dan tiada kaitan dengan Warisan yang dipimpin bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saya menyokong kepimpinan perdana menteri, (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan ketua menteri (Datuk Seri Musa Aman).

“Ramai yang keliru dengan fitnah saya dikaitkan dengan parti Warisan. Mereka kata ada orang canang saya sokong Warisan,” katanya yang dipetik di laman Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut sama ada dicalonkan untuk PRU akan datang atau tidak, ini jawapan beliau.

“Saya serah kepada pucuk pimpinan dan ketentuan ALLAH SWT.

“Buat masa ini, saya cekal dan kekal dalam BN dan berkerja untuk BN,” katanya.

Pada Mac 2015 lalu, Jumat pernah digantung sebagai ketua Umno bahagian itu kerana didakwa menjejaskan imej parti tersebut.

Pada Januari tahun sama, Setiausaha Wanita Umno Sabah, Datuk Armani Mahiruddin bersama Naib Ketua Pemuda, Shahelmy Yahya dan Ketua Puteri, Normalah Sidek menggesa Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap Jumat kerana menjejaskan imej parti.

Jumat dilapor telah mengkritik Musa secara terbuka di laman sosial Facebooknya.

– Sinar harian

.