MP: SENYAP PM TANDA TUNDUK M’SIA PADA AS

Tiadanya kenyataan dibuat Datuk Seri Najib Razak terhadap larangan perjalanan Presiden Donald Trump menunjukkan Malaysia kini tunduk kepada AS dan China, kata Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

“Kita bukan saja tunduk kepada AS malah semakin tunduk kepada komunis China dengan membenarkan dominasi ekonomi besar-besaran,” kata anggota parlimen Kuala Terengganu itu dalam kenyataannya hari ini.

Perdana menteri memang sudah lama dikritik kerana membenarkan pembabitan pemaju China dalam projek pembangunan di negara ini.

Sesetengah pihak malah mendakwa Najib “menjual” Malaysia kepada China.

Perkembangan terbaru pula menyebabkan Najib didesak supaya memberikan kenyataan atau bertindak ekoran larangan dikuatkuasakan AS yang melarang kemasukan rakyat Iran, Iraq, Libya, Sudan, Somalia, Syria dan Yaman mulai Jumaat lalu.

Larangan itu berkuat kuasa selama tiga bulan.

Ia adalah antara langkah awal diambil Trump selain membawa Rumah Putih keluar daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani Barack Obama.

Pada 4 Disember lalu Najib hadir ke suatu perhimpunan solidariti untuk etnik Rohingya di Stadium Mini Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Katanya, himpunan solidariti itu bertujuan untuk memberi mesej kepada kerajaan Myanmar bahawa Malaysia membantah penganiayaan dilakukan ke atas etnik Rohingya di negara itu.

Pada majlis itu Najib berkongsi pentas dengan pelbagai pertubuhan, termasuk PAS yang diwakili presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sokong pindah kedutaan

Untuk makluman, etnik Rohingya adalah penganut Islam yang berada di Myanmar namun tidak diiktiraf sebagai warganegara mereka.

Pada 19 Januari lalu pula perdana menteri menggesa dalang kepada serangan yang dilakukan ke atas etnik Rohingya itu dibawa kemuka pengadilan.

Katanya, Myanmar juga harus segera menghentikan tindakan berbentuk diskriminasi dan serangan terhadap sesuatu etnik.

Selain itu perdana menteri turut mendesak supaya Naypyidaw menyediakan akses tanpa had kepada bantuan kemanusiaan untuk disalurkan kepada kawasan mengalami krisis kemanusiaan berkenaan.

Raja Bahrin berkata, Malaysia “merindui” pemimpin negara yang bersuara untuk pihak yang lemah atau negara Dunia Ketiga, dan negara luar mengagumi keberanian serta pendirian kerajaan.

Bagaimanapun, kata pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu, Najib sekadar “menumpang” isu Rohingya dengan PAS selepas mendapat tekanan berterusan daripada pembangkang.
Beliau juga menyanggah pendapat Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Moktar Radin, yang beranggapan tidak sesuai untuk Najib mengkritik Trump kerana presiden AS itu hanya mengotakan janji kepada pengundinya.

“Dengan alasan itu, adakah ia bermakna kita wajar membiarkan ikrar Trump untuk memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis dan dengan itu mengiktiraf tuntutan Israel ke atas bandar berkenaan ketika ia dipertikaikan dunia Islam?” katanya.

– M’kini

.