MP ROMPIN DEDAH ‘SESUATU’ TENTANG TUN M

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hassan Ariffin mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja membiarkan Umno diharamkan selepas beliau hampir kalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah sewaktu pemilihan kepimpinan Umno pada 1988 dahulu.

Pendedahan itu dibuat menerusi sebuah portal, hari ini.

Beliau mendedahkan, tindakan itu sengaja dibuat untuk mengelakkan pemilihan semula jawatan Presiden Umno antara Mahathir dan Tengku Razaleigh, yang mana beliau hanya menang tipis sebanyak 43 undi melebihi Tengku Razaleigh.

“Padahal masih ada ruang untuk berbuat sesuatu agar Umno tidak diharamkan kerana beliau merupakan perdana menteri ketika itu, namun Mahathir tidak berbuat demikian kerana beliau sememangnya mahu Umno diharamkan untuk mengelakkan undian semula antara beliau dan Tengku Razaleigh dilaksanakan,” katanya dalam program Siri Jelajah Penerangan Perjuangan 4All di sini, malam tadi.

Kata Hassan kesetiaan Mahathir terhadap Umno hanyalah selama mana parti itu boleh dipergunakan untuk menjayakan agenda politik peribadi beliau.

“Sebab itu, saya katakan di sini Mahathir hanya mempergunakan Umno untuk menjadi perdana menteri dan berkuasa. Beliau bukannya benar-benar berjiwa Umno dan setia pada perjuangan Umno , sebaliknya memperkudakan Umno untuk kepentingan agenda politik peribadinya.

“Kerana itulah, kita lihat beliau hari ini sanggup berbuat apa saja sehingga sanggup mengatakan perkara-perkara yang tidak betul.Terrmasuklah tindakannya bersekongkal dengan DAP yang mana selama 22 tahun beliau secara konsisten mengatakan parti itu adalah parti yang memusuhi Islam dan orang Melayu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, Mahathir bertindak sebegitu rupa hari ini kerana beliau sedar Umno  tidak lagi dapat ditunggangi untuk merealisasikan agenda politik peribadinya.

Dalam program yang sama, Tan Sri Annuar Musa pula menjelaskan, setelah tertubuhnya Umno baru, maka Mahathir telah bertindak menyekat seteru-seteru politiknya daripada menyertai Umno baharu itu.

“Ramai di antara ahli-ahli politik yang disekat daripada menyertai semula Umno baru,” katanya lagi.

Tambah beliau, antara nama-nama besar dan tokoh orang Melayu yang disekat daripada menyertai Umno semula termasuk Allahyarham Datuk Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor dulu,” ujarnya.

– Sinar Harian

.