MP: PELIK DEPOSIT BANDAR M’SIA DIPULANGKAN

Pemulangan deposit RM741 juta oleh Kementerian Kewangan untuk projek Bandar Malaysia bukanlah satu kelaziman, jika rundingan pembayaran dilanggar, kata anggota parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Pemilik projek TRX City Sdn Bhd berkata mereka membatalkan kontrak dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings-China Railway Engineering Corporation (IWH-CREC) kerana tanggungjawab pembayaran tidak dipenuhi.

TRX City Sdn Bhd dimiliki oleh Kementerian Kewangan, yang pada Mac lalu mengambil alih tanah yang dijual kepada 1MDB untuk harga istimewa RM1.6 billion pada 2010.

“Persoalannya, jika kontrak dengan 1WH dibatalkan, siapa patut pulangkan deposit? Bukan 1MDB, tetapi Kementerian Kewangan.

“Tetapi ini pelik. Kementerian Kewangan berkata kontrak dibatalkan kerana 1WH tidak memenuhi tanggungjawab kontrak.

“Dalam kontrak yang konvensional, jika kontrak dilanggar, depositnya hangus. Jadi kenapa deposit itu dipulangkan.

“Mereka (IWH) buat satu kesalahan tetapi kita mesti bayar kembali deposit?” soal Pua.
Beliau membangkitkan perkara itu dalam forum berkaitan 1MDB di Petaling Jaya malam tadi.

Persoalan deposit itu turut menjadi persoalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana IWH sebahagiannya dimiliki oleh kerajaan negeri.

– M’kini