MP nafi wang punca pemimpin pembangkang Sabah keluar parti

Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking menafikan dakwaan bahawa penghijrahan pemimpin parti pembangkang Sabah adalah disebabkan oleh kekayaan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Tuntutan itu dibuat oleh Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, semalam.

“Tidak ada wang atau balasan dalam apa jua bentuk terlibat, malah tidak ada permintaan atau tawaran kepada mana-mana orang atau wakil rakyat yang secara sukarela menyertai parti pelbagai kaum yang berpangkalan di Sabah.

“Perjuangan dan prinsip kami adalah untuk melawan BN, untuk reformasi dan membawa perubahan kepada kerajaan baru yang bertanggungjawab, tetap sama dan tidak terjejas, tetapi sebenarnya adalah lebih kukuh sekarang berbanding sebelum ini.

“Dengan platform politik baru ini, kita di Sabah secara langsung bertanggungjawab kepada pengundi Sabah,” kata Leiking dalam satu kenyataan.

Beliau meninggalkan PKR bulan lalu untuk menyertai parti yang diasaskan oleh Shafie.

Leiking juga menggesa Chong untuk membuktikan dakwaannya itu dengan menyediakan bukti untuk menyokong teori tersebut.

“(Chong sepatutnya) memohon maaf atas dakwaan liar yang saya sendiri, Shafie dan semua dalam platform baru di Sabah menafikannya,” kata Leiking.

Ahad, tiga ADUN Pakatan Harapan meletak jawatan dari parti masing-masing untuk bersama parti tempatan Sabah.

Walaupun mereka tidak menyatakan parti mana yang akan disertai mereka.

Leiking berkata beliau mendapati adalah aneh bagi Chong membuat “tuduhan tidak berasas” terhadap Shafie sedangkan rundingan dengan pemimpin DAP dan pemimpin pembangkang lain masih berjalan.

“Ini mungkin kerana DAP Sarawak telah lama mengisytiharkan kemerdekaan daripada DAP kebangsaan, atau mungkin mereka jahil dengan apa yang rakyat Sabah mahukan,” katanya.

Rakyat Sabah, katanya, adalah sama sekali berbeza kerana mereka telah melihat bagaimana kedua-dua parti berasaskan negeri dan parti kebangsaan mentadbir Sabah.

– M’kini

.