MP MAHU PEMEGANG SAHAM PROTON JAMIN PINJAMAN RM1.5B

Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berpendapat, pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diberikan oleh kerajaan kepada Proton harus dibayar balik melainkan pemegang saham syarikat itu boleh, sama ada secara bersama dan berasingan, menjaminnya.

Pua berkata, ia satu-satunya cara untuk memastikan kerajaan ‘dilindungi’ dan rakyat Malaysia diyakini Proton tidak akan berakhir di tangan yang salah.

“Satu-satunya cara ialah mendapatkan jaminan bersama dan berasingan dari kedua-dua pemegang saham Proton – DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding Group. Ia seperti mana tuntutan mana-mana bank perdagangan terhadap Proton.

“Kita berharap Kementerian Kewangan boleh memberikan aku janji rasmi kepada rakyat Malaysia yang prihatin tentang jaminan para pemegang saham kepada pinjaman mudah RM1.5 bilion atau sebarang tunggakan akan diperoleh sebelum pengambil alihan 49.9 peratus oleh Geely disiapkan secara rasmi,” kata Pua dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani memberi jaminan bahawa pinjaman RM1.5 bilion kepada Proton itu ‘akan terselamat sepenuhnya’.
Terdahulu, Pua mempersoalkan sama ada kerajaan “membayar” Geely menerusi urusniaga pengambil alihan 49.9 peratus itu.

Ini ekoran kenyataan Johari bahawa tidak akan ada lagi subsidi untuk Proton selepas pembayaran akhir RM1.1 bilion dan Kementerian Kewangan bersedia membuat pengagihan akhir RM250 juta daripada pinjaman mudah itu.

– M’kini

.