MP: HATI-HATI KETIKA POLITIK TENGAH ‘PANAS’

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menasihati kepimpinan partinya, Parti Amanah Negara (AMANAH), agar sentiasa berwaspada di saat iklim politik yang semakin panas hari ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH itu berkata, pelbagai perkara yang berlaku berkaitan ahli politik berisiko diperalatkan pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Beliau mengulas penahanan anak kepada Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa bersama 200 pil kuda oleh polis di Kota Bharu, semalam.

“Kita perlu berwaspada lebih sedikit di zaman politik yang sedang memuncak hari ini, terutama di Kelantan.

“Musim sekarang ini banyak perkara yang (melibatkan) emosi, mungkin akan digunakan pihak tertentu untuk mengambil kesempatan demi kepentingan politik,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Suspek berusia 29 tahun ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kira-kira pukul tiga petang semalam di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu.

Husam dalam kenyataan semalam mengakui pemuda tersebut adalah anaknya, namun berkata masih belum mendapat maklumat lanjut daripada polis.

“Saya akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai isu ini selepas dapat menemui anak saya pada waktu terdekat diizinkan polis,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor.

Raja Bahrin menggesa semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menunggu siasatan polis.

“Isu dadah ini memang banyak aspek yang tidak begitu jelas, kita jangan buat kesimpulan terlalu cepat. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” kata anggota parlimen Kuala Terengganu itu lagi.

– M’kini

.