MOGA ALLAH LINDUNGI DIA, DOA IBU SUSPEK BAKAR TAHFIZ

KELUARGANYA kini jadi sasaran cemuhan; ke mana saja kakinya melangkah dan berselisih dengan jiran, mata mereka menuding salah kepadanya kerana tidak membesarkan anak dengan cara yang sepatutnya.

Wanita itu, janda 60 tahun, ibu kepada salah seorang tujuh suspek kes bakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang kini ditahan reman sehingga 29 September ini.

Walaupun dalam hatinya dia memahami kemarahan orang kepada anak bongsunya itu, dan dirinya juga, kerana kematian 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu dalam kebakaran pada 14 September lalu, jauh di sudut hatinya dia merayu agar mereka juga belajar memahami apa yang telah dan sedang dia lalui.

“Ibu mana yang tak sayang anak. Ibu mana yang tak mahukan anak dia berjaya. Ini bahagian saya, nak buat macam mana?

“Jangan kata saya biar anak. Dia tak balik saya cari, lewat malam saya keluar cari dia. Saya pernah marah dan tampar dia. Tapi dia tak melawan.

“Orang tak tahu saya periksa barang dia, bawah katil dia, cari kalau-kalau dia ada sorok apa-apa.

“Tapi saya pun kerja cari makan. Saya tak boleh nak tengok dia 24 jam. Saya tua, seorang, macam mana nak tengok dia siang malam,” kata wanita itu, warga Indonesia yang sudah 40 tahun tinggal di Malaysia.

“Orang cakap jangan bagi duit pada anak takut dia guna buat benda pelik-pelik. Anak saya cuma minta RM6 sehari. RM4 beli nasi lemak, RM2 beli air Milo. Dia lapar takkan saya tak bagi? Saya balik kerja itu yang dia minta sebab satu hari tak makan.”

Katanya, anaknya itu sudah beberapa tahun berhenti bersekolah. Bukan dia tidak mencuba tetapi dipujuk-pujuk pun anaknya itu sudah tawar hatinya pada sekolah.

Jenazah salah seorang pelajar tahfiz diangkat ketika hendak dikebumikan di tapak perkuburan Islam di Batu Caves, diiringi air mata dan doa keluarga dan orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.
Jenazah salah seorang pelajar tahfiz diangkat ketika hendak dikebumikan di tapak perkuburan Islam di Batu Caves, diiringi air mata dan doa keluarga dan orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.

Wanita itu dan empat anaknya tinggal di sebuah rumah kayu kira-kira 100 meter dari bangunan pusat tahfiz yang terbakar itu.

Ditanya tentang tiga anaknya yang lain, dia enggan berkata apa-apa.

Suaminya sudah lama pergi meninggalkan rumah. Suaminya pernah bekerja jadi tukang cuci di sebuah tandas awam tidak jauh juga dari pusat tahfiz itu. Beberapa hari selepas anaknya ditahan oleh polis, si ayah dibuang kerja.

Wanita itu kini bekerja sambilan di sebuah pasar ikan. Kalau ada kerja, adalah duit untuknya sekeluarga – RM30 sehari.

The Malaysian Insight bertanya pada beberapa orang penduduk setempat di Kampung Datuk Keramat. Mereka memberitahu kebanyakan suspek, yang mereka cam dan kenal, datang dari rumah tangga yang porak-peranda.

Tujuh sekawan berumur antara 11 hingga 18 tahun itu, seperti ramai lagi budak-budak yang sebaya mereka, merayau sepanjang hari. Mereka tidak bersekolah lagi.

Sampai ke hari ini masih ada orang awam yang datang untuk melihat sendiri kesan kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kejadian yang amat menyayat hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.
Sampai ke hari ini masih ada orang awam yang datang untuk melihat sendiri kesan kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kejadian yang amat menyayat hati. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2017.

Kampung Datuk Keramat yang dihimpit dan dikepung oleh menara tinggi kebanggaan kota raya, pusat membeli belah mewah dan banglo besar, menempatkan sebahagian warga Kuala Lumpur yang miskin bandar.

Wanita itu teresak-esak beberapa kali sepanjang perbualan ini. Katanya, dia bertemu anaknya pada Khamis di balai polis.

“Memanglah dia menangis dan menafikan terlibat bakar sekolah itu. Dia pun kata tak ambil dadah.

“Saya cuma kata, ceritalah yang benar kepada polis. Jangan takut kalau tak buat salah.”

Jabatan Bomba dan Penyelamat pada Khamis mengumumkan hasil siasatan yang menunjukkan pusat tahfiz itu dibakar dengan api yang dicucuh dengan petrol. Polis sementara itu menyiasat kes ini sebagai kes bunuh.

“Saya bukan cari alasan atau bela anak saya. Saya tahu hukuman berat yang tunggu dia,” kata wanita itu.

Katanya, sebagai ibu dia berharap anaknya membantu polis dan tidak menyembunyikan apa-apa. Dia juga tahu sekarang ini dia hanya boleh berdoa agar anaknya selamat. Dia juga berdoa agar Tuhan memberikannya kekuatan untuk menghadapi dunia yang memandangnya dengan penuh hina.

“Air mata saya sudah kering. Sudah tak ada lagi air mata ini.

“Hari ini sebutir nasi pun tak masuk mulut ini. Minum pun sedikit sampai kering bibir. Saya tak lalu, tak ada selera. Saya cuma teringatkan dia.

“Kalau dia bersalah, saya harap hukumannya diringankan. Kalau dia tidak bersalah, saya mohon dia dilindungi Allah.”

– Malay Mail

.