MINTA NAJIB LETAK JAWATAN DULU, KATA PEMUDA BERSATU PULAU PINANG

PEMUDA Bersatu Pulau Pinang hari ini menyelar rakan Umno mereka yang mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meletakkan jawatan berikutan kes rasuahnya di mahkamah.

Awal hari ini Guan Eng menandatangani ikrar “IBR-Plus 10” – versi yang diubahsuai daripada standard ikrar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras rasuah.

Pembantu Setiausaha Pemuda Bersatu Pulau Pinang Aizat Khalid berkata, Pemuda Umno Pulau Pinang sepatutnya memberitahu presiden partinya sendiri, Najib Razak supaya meletakkan jawatan berikutan tuduhan mengenai penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sekiranya tuduhan-tuduhan itu hanya fitnah daripada pembangkang, Pemuda Umno harus meminta presiden mereka untuk turut serta menandatangani ikrar SPRM sebagai perdana menteri, seperti yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang.

“Jika tidak, beliau sekurang-kurangnya patut hadir ke program ‘Nothing to Hide 2.0’ pada 13 Ogos untuk menjawab segala tuduhan ‘palsu’ yang dilemparkan kepadanya. Kami sekali lagi menjemput Najib dan Umno.

“Sehingga kini, perdana menteri berdiam diri. Langsung tiada jawapan dan semua soalan tentang 1MDB ditolak di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Pagi tadi, Ketua Pemuda Umno Rafizal Abdul Rahim menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah SPRM Dzulkifli Ahmad di Komtar, selepas Dzulkifli menyaksikan majlis menandatangani ikrar ‘IBR-Plus 10’ oleh kerajaan Pulau Pinang.

Rafizal berkata, memorandum itu bagi mendesak SPRM membantu mahkamah mempercepatkan kes rasuah Guan Eng.

Dia juga menuntut Guan Eng meletak jawatan atas dakwaan rasuah yang berkaitan dengan pembelian rumah banglonya pada harga diskaun beberapa tahun lepas.

Kata Aizat lagi, Pemuda Umno Pulau Pinang juga harus mendesak pihak berkuasa untuk menangkap ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, secepat mungkin.

Low, yang diketahui sekutu rapat dengan Najib, dituduh menjadi dalang kepada skandal 1MDB tetapi menafikan segala tuduhan ke atasnya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.