MINTA MAAF AJK CELUPAR

BUKIT JALIL – Pemuda Umno Cawangan Bandar Bukit Jalil membuat permohonan maaf kepada pimpinan Pemuda Umno Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) atas keceluparan seorang ahli jawatankuasanya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran, Ahad lalu.

Ketua Pemudanya, Datuk Aliff Tafid berkata, komen dihantar ke akaun laman sosial miliknya itu menyebabkan keadaan agak huru-hara dan kecoh.

Menurutnya, pihaknya mengakui komen diberi oleh seorang AJK dan ahli puteri cawangan itu boleh melaga-lagakan antara pemuda cawangan dan pemuda bahagian.

“Oleh itu, saya mohon  maaf kepada seluruh pimpinan Pemuda Umno BTR atas kesilapan AJK dan puteri yang mengeluarkan komen sinis kepada mereka menerusi akaun laman sosial saya.
“ Saya dah nasihatkan seluruh ahli pemuda supaya tidak mengulangi kesilapan malah  mengeluarkan surat akur janji kepada mereka termasuk kepada ahli puteri dan wanita,” katanya.

Beliau sebelum itu berkata, ahli Umno perlu setia kepada pemimpin, hormat kepada pimpinan bahagian dan menepis dakyah luar yang boleh mengotorkan nama bahagian serta cawangan.

Katanya, tiada guna menyatakan kesetiaan kepada pimpinan pemuda cawangan namun sebaliknya mengherdik pimpinan pemuda bahagian.

“Pusing ikut mana sekali pun, akhirnya kita akan rujuk kepada bahagian juga ibarat ‘ludah ke langit kena muka sendiri’, buruk baik macam manapun bahagian, ia mencerminkan cawangan.

“Jangan bantai pimpinan bahagian secara melulu tanpa pengetahuan ketua cawangan mahupun ketua sayap, kita harus kuat bukan saja di peringkat cawangan malah kena bersama bahagian untuk jalin kerjasama strategi demi kemenangan BN di BTR,” katanya.

– SH

.